Ming-Chi Kuo adalah peramal produk Apple yang terkenal. Ramalan sebelum ini mengatakan iPhone 2018 dengan skrin LCD bakal dilancarkan dengan lima pilihan warna. Terbaru, Kuo meramalkan di mana Apple akan melancarkan iPad Pro 11-inci, Apple Watch dengan skrin lebih besar, kemaskini AirPods dan juga siri komputer Mac baru.
iPad Pro 11-inci ini dikatakan mungkin akan menggantikan iPad Pro 10.5-inci yang hadir sekarang. Manakala, iPad Pro 12.9-inci akan dikemaskini dengan bingkai yang lebih nipis, tiada butang home dan turut akan menyertakan FaceID.
Untuk Apple Watch pula, ia akan hadir dengan skrin lebih besar iaitu 1.57-inci dan 1.78-inci dengan bingkai lebih nipis. Selain hadir dengan pengimbas nadi yang dioptimasikan. Disebabkan bingkai yang nipis – saiz jam tangan pintar baru Apple ini mungkin akan kekal dengan dimensi yang hampir sama.
Kuo turut meramalkan kemaskini cip pemproses untuk MacBook, MacBook Pro dan iMac. Siri komputer Mac ini turut dikatakan bakal hadir dengan prestasi skrin yang lebih baik. Manakala, bagi MacBook Air baru pula, ia mungkin hadir dengan kos yang lebih rendah. Ini sejajar dengan laporan kami sebelum ini.
Bagi AirPods pula, versi baru dikatakan mungkin hadir dengan sokongan mengaktifkan Siri melalui pengecaman suara “Hey, Siri”.
Laporan Kuo turut mengatakan pemasaran produk baru Apple ini mungkin akan mengalami kelewatan dan permintaan yang lebih rendah daripda apa yang dijangkakan.