Cari @ Amanz

India ialah negara dengan pasaran jualan telefon mudah alih terbesar dunia di belakang China. Terdapat lebih 1.1 bilion pengguna telefon mudah alih di negara tersebut dan jauh meninggalkan Amerika di tangga ketiga yang mempunyai sekitar 330 juta pengguna. Oleh itu Apple melihat India sebagai pasaran menarik untuk mengembangkan jualan iPhone. Tetapi menurut laporan Bloomberg, setakat ini jualan iPhone di India adalah mengecewakan dan kurang 1 juta terjual pada separuh tahun pertama 2018.

Oleh sebab kegagalan ini, beberapa eksekutif tinggi di Apple India telah meletakkan jawatan termasuk ketua bahagian jualan dan pengedaran. Di India Apple mensasarkan jualan peranti kelas pertengahan mereka seperti iPhone SE kerana ianya dibuat di India. Ini membolehkan ia dijual pada harga lebih murah berbanding model lebih baharu yang dikenakan cukai yang tinggi.

Tahun lalu Apple hanya memegang 2% pasaran jualan peranti di India. Ini ialah di belakang dua kuasa besar Samsung dan Xiaomi. Jualan yang kurang memberangsangkan di pasaran kedua terbesar dunia ini pastinya mengecewakan Tim Cook yang meramalkan India akan menjadi seperti China yang menjadi antara pasaran utama iPhone dunia. Nampaknya di India, perspepsi masyarakat bahawa iPhone adalah untuk golongan berada adalah benar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd