Oppo Malaysia hari ini telah membawa telefon pintar mercu mereka untuk 2018 yang hadir dengan penawaran berbeza dengan sejumlah peranti lain di Malaysia – iaitu menggunakan rekaan berbentuk mekanikal untuk menyembunyikan bahagian kamera.
Oppo Find X hadir selepas sekitar empat tahun siri-Find tidak menerima sebarang kemaskini. Malah, Find 7 sebelum ini sedia menerima permintaan yang tinggi dan agak popular dikalangan pengguna. Sejak daripada itu, ramai yang menantikan kemaskini untuk keluarga peranti berkenaan.
Oppo Find X meneruskan tradisi siri Find sebelum ini, dan hadir dengan sejumlah penawaran yang sangat menarik dan lain daripada lain. Oppo Find X hadir dengan skrin 6.4-inci denan paparan 1080p, tiada sebarang takuk dan menawarkan nisbah skrin ke badan mencapai 93.8% – tertinggi di pasaran buat masa ini.
Ia turut dijana cip Snapdragon 845, memori 8GB RAM, dan storan 256GB. Melengkapkannya juga adalah bateri berkapasiti 3730mAh dengan sokongan pengecasan pantas VOOC.
Menariknya adalah pada bahagian kamera. Kamera di Oppo Find X disembunyikan secara mekanikal. Ia boleh digerakkan ke atas atau disembunyikan apabila mengakses aplikasi kamera, atau ingin nyah-kunci peranti.
Oppo Find X menggunakan kamera 25-megapixel dihadapan dengan sensor 3D, selain dwi-kamera belakang gabungan 20-megapixel dan 16-megapixel.
Oppo Find X juga turut menyertakan antaramuka Color OS 5.1 berasaskan kepada Android 8.1. Oppo turut mengatakan kelak mereka akan menyokong Android P apabila ia dilancarkan kelak.
Di Malaysia, Oppo Find X dijual pada harga RM3699, dan bakal ditawarkan bermula 5 Ogos 2018 kelak. Pengguna yang berminat, boleh melakukan pra-tempahan melalui laman rasmi Oppo hari ini.
- Baca : Pandang Pertama Oppo Find X