Cari @ Amanz

Nasib malang yang melanda HTC membuktikan bahawa kejayaan yang lalu tidak menjaminkan kejayaan yang berkekalan. Suatu ketika dahulu mereka gah di atas tetapi gagal mencatatkan keuntungan sejak beberapa tahun yang lalu sehingga CEO terpaksa meletakkan jawatan. Terkini HTC dilaporkan akan menarik diri dari pasaran telefon pintar di India.

Menurut laporan The Economics Times, tiga eksekutif tertinggi HTC India telahpun meletakkan jawatan. Sebahagian besar daripada 80 kakitangannya juga sudah diarahkan untuk meletakkan jawatan. HTC India kini dikawal sepenuhnya oleh HTC Taiwan dan akan memberikan tumpuan kepada penjualan peranti realiti maya Vive sahaja.

Pihak HTC apabila dihubungi berkata mereka mungkin akan kembali ke pasaran India sekiranya berlaku perubahan di dalam dunia peranti pintar. Lambakan peranti dari China khususnya dari Xiaomi, Oppo dan Vivo yang dijual pada harga mampu milik menjadi faktor mengapa HTC menarik diri di India. Malahan Apple menghadapi masalah untuk menjual produk mereka di negara tersebut dengan jualan iPhone di bawah 1 Juta unit tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd