Lebih dari 1 bilion iPhone telah terjual sejak diperkenalkan sedekad yang lalu dan menjadikannya telefon pintar paling popular di dunia. Jualannya di India walau bagaimanapun kurang memberangsangkan kerana harga juala yang diuar kemampuan jelata. Jualannya mungkin semakin merudum selepas Telecom Regulatory Authority of India (TRAI) ingin sokongan selular kepada iPhone dihentikan kerana keengganan Apple meletakkan aplikasi pemantauan mereka di App Store.
TRAI yang berfungsi seperti SKMM di Malaysia membangunkan aplikasi DND bagi membanteras masalah panggilan serta mesej berunsur SPAM di India. Tetapi menurut Apple, aplikasi ini boleh memintas panggilan dan mesej yang dihantar sekaligus melibatkan pelanggaran privasi pengguna. Ini menjadikan DND aplikasi yang melanggar terma dan syarat App Store.
Dalam arahan terkini yang dikeluarkan Khamis lalu, TRAI mengeluarkan tempoh selama enam bulan yang mengarahkan pengeluar memberikan sokongan kepada DND. Kegagalan menyokong aplikasi ini akan menyebabkan sokongan selular 3G dan 4G untuk peranti dihentikan oleh syarikat telekomunikasi.
Apple menerima sokongan dari Persatuan Selular India yang mengatakan TRAI tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pengeluar peranti. Kuasa mereka terhad kepada pengeluaran lesen dan memantau syarikat telekomunikasi.