Cari @ Amanz

Samsung sedia diperkatakan sedang dalam persiapan untuk melancarkan telefon boleh-lipat mereka pada awal tahun 2019 kelak. Kini, selain Samsung, Huawei turut sedang mempersiapkan peranti mereka, dan menyasarkan untuk memperkenalkannya kepada umum sebelum Samsung.

Berbeza dengan peranti boleh-lipat pada hari ini, melalui perlumbaan telefon boleh-lipat dikalangan pelbagai pengeluar, mereka ingin menggunakan panel skrin yang boleh dilipat. Ia bukannya menggunakan rekaan dua skrin yang digabungkan melalui bingkai khusus, tetapi sebaliknya sebuah skrin yang boleh digunakan sebagai tablet, atau dilipat dua untuk dibawa dalam saku.

Melalui laporan Nikkei hari ini, Huawei diperkatakan bakal hadir dengan kuantiti terhad – sekitar 20,000 unit untuk peringkat pengenalan dan menyasarkan mereka yang ingin mencubanya terlebih dahulu.

Huawei dijangka menggunakan panel daripada BOE, iaitu salah satu syarikat pengeluar panel paparan daripada China yang turut menerima sokongan kerajaan di sana. Pengenalan peranti Huawei boleh-lipat ini sekaligus akan turut memperlihatkan kepada dunia kebolehan mereka untuk hadir dengan pelbagai penawaran menarik dan teknologi terkini lebih pantas berbanding yang lain.

Sebelum ini juga, Huawei turut telah menjadi terawal memperkenalkan beberapa teknologi terbaru, termasuk integrasi komponen NPU pada cip pemprosesan mudah-alih, dan juga penggunaan tiga lensa kamera pada peranti.

Huawei P20 Pro

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut dalam perlumbaan pelbagai pengeluar peranti untuk hadir dengan telefon boleh-lipat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd