Menerusi WhatsApp Business, pemilik perniagaan boleh berinteraksi dengan pelanggan secara lebih profesional. Terdapat automasi pada sistem pemesejan membolehkan jawapan pantas diberikan kepada soalan lazim dan penghantaran mesej kepada pelanggan ketika peniaga sibuk untuk melayan pelanggan. WhatsApp hari ini mengumumkan peniaga akan mula dikenakan bayaran untuk menggunakan beberapa fungsi aplikasi ini.
Pertama sekali pemilik perniagaan boleh membalas mesej yang dihantar secara percuma jika dijawab dalam masa 24 jam. Selepas tempoh ini, peniaga perlu membayar untuk menjawab mesej yang sama. Pada waktu yang sama perniagaan boleh menghantar maklumat pengesahan alamat penghantaran dan pas penerbangan kepada pelanggan menerusi aplikasi ini.
Iklan di Facebook pula akan menyokong penghantaran mesej WhatsApp terus kepada perniagaan. Butang untuk berbual dengan pegawai perkhidmatan pelanggan menerusi WhatsApp turut boleh dipaparkan pada laman web. Dengan sokongan perniagaan yang lebih menyeluruh ini, WhatsApp akan akhirnya menjana pendapatan seperti perkhidmatan lain di bawah payung Facebook.