Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy Note 9 – Skrin Dan Bateri Lebih Besar Serta S-Pen Dengan Fungsi Kawalan Jauh
August 9, 2018 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Note 9 dilancarkan di New York hari ini dan tidak mengejutkan ia hanyalah sebuah Galaxy S9+ yang diberikan beberapa penambahbaikan dari segi spesifikasi. Dari segi rekabentuk sekali lagi rekaan model tahun lalu dikitar semula seperti yang dapat dilihat pada S9.

Setiap kali peranti baru dilancarkan persoalan yang biasa ditanya oleh pengguna ialah sama ada ia lebih berbaloi berbanding model tahun lalu. Ini ialah pandang pertama kami untuk Samsung Galaxy Note 9.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 9
Skrin 6.4″ QHD+ SAMOLED HDR (516 PPI)
Pemproses Exynos 9810
Cip Grafik Mali G72 MP18
RAM 6/8 Gigabyte LPDDR4
Muatan Dalaman 128/512 Gigabyte (MikroSD sehingga 512 GB)
Kamera Utama 12+12 Megapixel , f/1.5+f/2.4, OIS, 2X Zoom Optikal
Kamera Depan 8 Megapixel f/1.7, Fokus Auto
Bateri 4000 mAh (Pengecasan Pantas + tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari, nadi, wajah dan anak mata
Harga Jualan RM 3699, RM 4599

Skrin 6.4″ yang digunakan pada peranti ini hanya sedikit lebih besar berbanding 6.3″ yang ditemui pada  Samsung Galaxy Note 8 tahun lalu. Tiada perubahan pada saiz dagu dan dahi peranti menyebabkan Note 9 lebih panjang, lebar dan tebal bagi menggunakan skrin baharu ini.

Skrin berteknologi Super AMOLED digunakan yang menyokong resolusi sehingga QHD+ dan juga HDR 10. Tiada perubahan mendadak dilakukan pada teknologi skrin yang digunakan tahun ini. Seperti biasa perubahan spesifikasi terbesar terletak pada komponen dalaman.

Pemproses lapan teras Exynos 9810 dipadankan dengan memori 6/8 GB RAM LPDDR4 dan  memori sebesar 128/512GB. Tiada penawaran storan dalam saiz yang lain ditawarkan tahun ini. Bagi yang memerlukan storan yang lebih besar, Galaxy Note 9 menyokong kad mikroSD sehingga 512GB. Galaxy Note 9 adalah sebilangan kecil peranti yang mempunyai storan terbina mencecah separuh TB. Biasanya hanya model edisi khas seperti Huawei Porsche Design Mate RS ditawarkan dengan storan yang besar. Walaubagaimanapun status peranti dengan saiz storan terbesar masih dipegang oleh Smartisan T1 dengan memori 1TB yang dilancarkan awal tahun ini.

Kemampuan kamera pula adalah sama seperti yang ditemui pada Galaxy S9+. Dwi-kamera utama 12+12 Megapixel digunakan pada kamera belakang. Ini menyokong zoom optikal sehingga 2X, sistem OIS berkembar, pemfokusan Dual Pixel dan bukaan boleh laras f/1.5 atau f/2.4. Dengan sistem dwi-kamera, sistem Live Focus disokong bagi menghasilkan latar belakang yang dikaburkan. Kamera utama ini disusun mendatar.

Pada bahagian hadapan pula terdapat kamera swafoto sebesar 8-Megapixel f/1.7.  Walaupun perkakasan sama dikitar semula, Samsung mengatakan beberapa penambahbaikan pada perisian dilakukan bagi meningkatkan kemampuan kamera berbanding Galaxy S9+. Ini akan kami bincangkan pada bahagian perisian kelak.

Sebuah pengimbas cap jari terletak di bawah lensa kamera utama. Kedudukan baharu ini lebih maakul berbanding yang ditemui pada model tahun ini. Ini sedikit sebanyak memudahkan proses mengimbas cap jari serta mengurangkan masalah lensa kamera kotor kerana kesilapan ketika mencari pengimbas cap jari.

Ura-ura penggunaan pengimbas cap jari nampaknya tidak menjadi kenyataan. Pengguna hanya perlu berpuas hati dengan pengimbas cap jari atau sistem nyahkunci hibrid menggunakan wajah dan anak mata yang sekali lagi dipinjam dari Galaxy S9.

Sebuah penambahbaikan yang akan menggembirakan pengguna ialah bateri yang kini sebesar 4000 mAh. Ini adalah peningkatan sebanyak 21% berbanding bateri sebesar 3300 mAh tahun lalu. Tindakan Samsung menggunakan bateri yang lebih kecil pada Galaxy Note 8 berbanding Galaxy S8+ tahun lalu amat membingungkan. Akibatnya hayat penggunaan peranti tersebut adalah yang paling pendek di antara peranti mercu di pasaran.

Dengan bateri sebesar 4000 mAh ini, kami berharap kemampuan bertahan sepanjang hari akan akhirnya menjadi kenyataan. Samsung nampaknya mula kembali percaya kepada penggunaan bateri berkapasiti tinggi selepas masalah Galaxy Note 7 menyebabkan saiz bateri mengecil mendadak tahun lalu. Sokongan pengecasan Adaptive Fast Charging (15W) dan pengecasan tanpa wayar pantas Qi sekali lagi kembali.

Satu perkara yang ingin kami sentuh ialah Samsung mengekalkan format pengecasan yang sudah berusia dua tahun sedangkan pengeluar lain sudah mula menyokong format pengecasan lebih berkuasa lebih tinggi seperti QuickCharge 4.0 (27W)

Dalam beberapa imej acah dan maklumat tertiris, penambahbaikan pada S-Pen diberikan tumpuan. Akhirnya S-Pen menyokong tambatan secara bluetooth yang memberikan beberapa fungsi yang selama ini tidak dapat dilakukan oleh S-Pen generasi terdahulu. Kami akan bercakap dengan lebih lanjut mengenai S-Pen ini di bawah.

Kesimpulannya ialah Galaxy Note 9 ialah sebuah Galaxy S9+ dengan saiz skrin, storan dan bateri yang lebih besar serta sokongan stylus.

Rekabentuk

Jika dipandang dari hadapan adalah agak sukar membezakan Galaxy Note 9 dengan Galaxy Note 8. Walaupun dilengkapi skrin yang lebih besar, ia sebenarnya tidak dapat dilihat dengan ketara.

Masih terdapat dahi dan dagu yang ketara pada bahagian hadapan peranti. Saiz skrin Note yang dahulunya dianggap besar menjadi antara sebab ianya menjadi tumpuan. Tetapi tahun ini Vivo NEX dan Oppo Find X mempunyai skrin yang jauh lebih besar dan menarik. Samsung Galaxy Note 9 tidak membawakan sebarang inovasi dari segi rekaan serta teknologi skrin.

Kesemua sensor pengimbas anak mata, sensor jarak, gagang telinga dan kamera hadapan terletak pada bahagian dahi yang kini kelihatan tebal. Sisi melengkung yang diperkenalkan sejak Galaxy Note Edge dikekalkan bagi memudahkan pergerakan jari dari skrin ke bingkai dan juga memberikan ilusi bezel sisi yang nipis. Kaca Gorilla Glass 5 pada bahagian hadapan memastikan peranti dapat bertahan dari sebarang kerosakan serius sekiranya ia terjatuh.

Kaca sekali lagi digunakan pada panel belakang dengan sisi melengkung. Rekaan ini harus diakui menjadikan peranti kelihatan cantik tetapi membawakan masalah biasa iaitu memerangkap kotoran dengan mudah serta membuatkannya licin dipegang. Jadi tidaklah mengejutkan beberapa kerangka rasmi dihasilkan oleh Samsung untuk menyelesaikan dua masalah di atas.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan. Pada sisi kiri pula terdapat butang Bixby dan suara dari jenis rocker. Kesemua butang diperbuat daripada logam dan terbina dengan kukuh. Pada bahagian atas terdapat slot dwi-SIM nano dari jenis hibrid. Port pengecasan, pembesar suara, tempat simpanan S-Pen dan  bicu audio pula terletak pada bahagian bawah seperti biasa. Peranti masih lagi mempunyai kemampuan kalis air IP68 kerana ia kini menjadi fungsi perlu pada peranti mercu seperti Galaxy Note 9.

Samsung masih belum mengeluarkan peranti yang direka khusus untuk permua tetapi Note 9 adalah yang pertama diberikan akses eksklusif kepada permua Fornite. Menurut pihak Samsung sistem kawalan prestasi dengan kecerdasan buatan serta penyejukan baru digunakan pada Galaxy Note 9.

Kecerdasan buatan akan memantau suhu peranti. Sekiranya mengesan suhu yang berbahaya, prestasi pemproses akan diturunkan tanpa menyebabkan permua mengalami sela masa. Kadar bingkai akan dikurangkan dari 60FPS ke 30FPS menerusi sistem ini.

Masalah pemanasan akan diselesaikan dengan sistem penyejuk berasakan cecair yang direka semula pada Galaxy Note 9. Plat penyebaran haba kini tiga kali lebih besar berbanding model terdahulu. Maka bolehlah dikatakan Galaxy Note 9 ini ialah peranti untuk permua pertama Samsung buat masa ini.

Satu penambahbaikan yang telah kami mahukan ialah sokongan audio stereo. Gagang telinga dan pembesar suara pada bahagian bawah kini berfungsi secara berpasangan lengkap dengan sokongan Dolby ATMOS serta penalaan oleh pihak AKG. Kelemahan audio pada Galaxy Note 8 kini boleh dilupakan.

Pengitaran semula rekaan Galaxy Note 8 ini ialah langkah selamat yang diambil oleh Samsung. Tetapi ia mungkin akan mendatangkan kesan negatif, Jualan Galaxy S9 tidak sebaik S8 tahun ini kerana ia juga mengitar semula rekaan lama. Penambahbaikan dari segi spesifikasi juga tidak terlalu ketara. Sebagai pengguna tegar Galaxy Note 8 sejak setahun yang lalu harus kami akui terasa kurang teruja dengan rekaan Galaxy Note 9.

Antaramuka

Android 8.1 digunakan dengan pelancar Samsung Experience. Ini menjadikan Galaxy Note 9 telefon pintar pertama Samsung menggunakan versi Android ini. Tiada perubahan pada ikon dan susunan antaramuka dilakukan. Ketika sesi tertutup kami sempat bertanyakan mengenai bilakah Android Pie akan diterima. Wakil Samsung masih belum mempunyai tarikh bilakah ianya akan diberikan tetapi sekadar berkata Android Pie akan diterima kelak. Kami juga difahamkan Project Treble disokong oleh Galaxy Note 9 maka proses kemaskini ke Android Pie di atas kertas bukanlah satu masalah yang besar seperti zaman sebelum Treble diperkenalkan.

Tatalan ke kiri akan memaparkan skrin Bixby yang memaparkan berita terkini, maklumat media sosial dan aplikasi pilihan. Ada yang mengatakan Bixby 2.0 akan disokong oleh Note 9 tetapi pada peranti yang dicuba ia masih menggunakan versi lama. Mungkin Samsung masih ingin menyimpan beberapa rahsia dari kami dan pandang pertama ini akan disunting sekiranya fungsi baharu diperkenalkan selepas artikel diterbitkan.

Seperti biasa Samsung menyertakan pelbagai fungsi tambahan pada peranti keluaran mereka. Kebanyakan fungsi tambahan ini tidak ditemui pada Android Stock. Berikut ialah senarai fungsi-fungsi yang disertakan.

Edge Panel – Sama seperti tahun lalu tetapi kini lebih banyak pilihan panel. Yang paling kami minati ialah Smart Select yang membolehkan GIF beranimasi dihasilkan terus dari skrin peranti.

Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.

Themes – Mengubah tema antaramuka, latar belakang dan pek ikon.

Clear Badge – Membuang jumlah notifikasi mesej belum dibaca pada aplikasi tertentu.

Put To Sleep – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.

Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.

Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Mengakses Talam Notifikasi Dengan Pengimbas Cap Jari – Skrin yang memanjang pasti menyukarkan akses kepada talam notifikasi. Dengan mod ini talam boleh ditarik ke bawah dan ke atas dengan tatalan pada pengimbas jari seperti pada peranti Google Pixel.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Ini menggantikan fungsi menekan butang home fizikal sebanyak dua kali yang tidak lagi wujud.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas atau menatal dari bucu bawa ke atas.

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5, 5×5 atau 5X6.

Secure Folder – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari, nombor pin atau paten.

Edge Panels – Pintasan pantas kepada aplikasi kegemaran, nombor telefon insan terpenting, lampu suluh, pembaris, kompas dan juga rumusan berita terkini terus dari skrin sisi.

Stylus S Pen

S-Pen dengan sokongan bluetooth ini tidak dilengkapi bateri. Sebuah kapasitor terbina di dalam tubuh akan menyimpan cas yang diperlukan untuk operasi. Pengecasan selama 40 saat dikatakan boleh memberikan tempoh operasi sehingga 30 minit dan jarak operasi sehingga 10 meter.

Ketiadaan bateri ini membolehkan S-Pen mengekalkan saiz yang sama seperti model-model terdahulu. Masih terdapat sebuah butang fizikal terbina pada tubuh stylus. Butang ini lebih pelbagai fungsi apabila tambatan bluetooth diaktifkan.

Ia boleh menjadi alat kawalan jauh untuk merakam gambar. Gambar boleh diambil apabila betul-betul bersedia dan bukannya mengejar sistem pemasa sedia ada.

Memainkan muzik dan video juga boleh dikawal menggunakan butang S-Pen. Tekan sekali untuk menghentikan lagu/video atau tekan dua kali untuk lagu/video seterusnya.

Bagi pengguna profesional, slaid pembentangan PowerPoint di dalam peranti turut boleh dikawal menggunakan butang S-Pen. Samsung akan memberikan SDK kepada pembangun untuk mereka mengintegrasikan alat kawalan jauh ini ke dalam aplikasi mereka.

Untuk lakaran, S-Pen masih boleh mengesan 4096 tahap tekanan dan mengekalkan teknologi Wacom. Pelancar Air-Command juga akan terpapar pada skrin secara automatik dengan pelbagai singkatan fungsi yang boleh diakses oleh pengguna menggunakan S-Pen.

Berikut ialah beberapa fungsi yang boleh dilakukan dengan S-Pen.

Pelancaran Aplikasi Pantas – Pintasan pantas kepada aplikasi boleh diletakkan pada menu Air Command.

Live Message – Menghasilkan GIF beranimasi sekitar empat saat menggunakan lakaran sendiri.

Google Translate – Melakukan alih bahasa secara automatik apabila cursor S-Pen diapungkan di atas perkataan yang ingin dialih bahasa.

Screen Off Memo – Melancarkan aplikasi mengambil memo terus dari peranti yang dikunci. Memo yang ditulis atau lakaran yang dilakukan akan disimpan sejurus selepas S-Pen dimasukkan semula ke tempat simpanan.

Smart Select – Mengambil gambar paparan skrin tertentu sahaja dengan menetapkan had kawasan. GIF beranimasi dari video juga boleh dihasilkan menggunakan fungsi ini.

Bixby Vision – Melancarkan carian imej menggunakan pembantu maya Bixby

DeX Tanpa Dermaga

Akhir sekali ialah sistem DeX tanpa dermaga yang pertama sebelum diperkenalkan pada Galaxy Tab S4.  Menerusi sistem baharu ini, sambungan menggunakan penyesuai USB-C ke HDMI sahaja diperlukan. Skrin DeX akan terpapar pada skrin komputer atau TV yang disambungkan. Selepas disambung pengguna boleh memilih mod mengubah Galaxy Note 9 menjadi sebuah pad sesentuh atau memaparkan antaramuka telefon biasa. Kedua-dua mod ini boleh diakses pantas menerusi pilihan pada talam notifikasi.

Dua penyesuai dihasilkan oleh Samsung. Satu dengan sambungan HDMI sahaja manakala sebuah lagi dengan sambungan HDMI. LAN, USB-A dan USB-C untuk pengecasan. Galaxy Note 9 masih boleh menggunakan semula dua dermaga DeX yang telah dilancarkan sebelum ini.

Penggunaan mod DeX tanpa dermaga mempunyai sedikit kekurangan di mana output yang disokong terhad kepada 1080P berbanding QHD menggunakan dermaga. Jumlah tingkap aplikasi yang boleh dipaparkan juga sekitar 5 sahaja berbanding hampir 20 apabila menggunakan dermaga. Sungguhpun begitu fungsi DeX tanpa dermaga ini berguna apabila ingin menggunakan mod desktop ini di tempat yang hanya mempunyai sambungan kabel HDMI.

Kesimpulan

Samsung menjanjikan perubahan yang besar pada Galaxy Note 9 tahun ini. Tetapi pengalaman penggunaan selama sekitar 30 minit, kami rasakan perubahan yang dilakukan sebenarnya tidak sebesar seperti yang dijanjikan.

Rekaan Samsung Galaxy Note 8 dikitar semula hampir 90% dengan komponen dari Galaxy S9+ menggantikan komponen lama. Skrin 6.4″ yang digunakan hanya 0.1″ lebih besar tetapi secara ikhlas tidak kami sedari. Sistem kamera dengan bukaan boleh laras akan meningkatkan kemampuan rakaman dalam situasi gelap tetapi kelihatan canggung kerana satu lensa lebih utama yang lebih kecil berbanding lensa zoom optikal. Pada Galaxy S9+ perbezaan saiz ini tidak ketara kerana lensa kamera disusun menegak. Ketidakseimbangan ini sedikit sebanyak mencacatkan estetik peranti.

Kami menyambut baik kedudukan pengimbas cap jari yang kini lebih mudah diakses bersama dengan saiz bateri yang lebih besar. Tahun lalu dua perkara ini menjadi sumber rungutan kami di dalam ulasan Galaxy Note 8. Nampaknya Samsung mengambil input dari pengguna dengan serius.

S-Pen dengan sokongan Bluetooth membawakan fungsi alat kawalan jauh untuk kamera, aplikasi galeri, aplikasi rakaman suara dan melakukan pembentangan slaid. Kesemua fungsi ini mungkin dianggap gimik bagi mereka yang tidak menggunakan S-Pen dengan kerap tetapi kami secara peribadi dapat melihat potensinya selepas SDK diberikan kepada pembangun aplikasi.

DeX tanpa desktop juga penambahbaikan yang kami sambut baik walaupun terdapat kekurangan jika dibandingkan dengan menggunakan dermaga. Salah satunya ialah peranti yang tidak dapat dicas ketika bersambung pada skrin sekiranya penyesuai multi-kepala yang dihasilkan Samsung tidak digunakan. Pengalaman kami menggunakan DeX sebelum ini sedikit mengecewakan. Kami tidak sempat menggunakan DeX menerusi kabel HDMI ini secara menyeluruh dan akan mencubanya dahulu sebelum memberi kata putus.

Kesemua penambahbaikan pada Note 9 ini adalah menarik tetapi landskap peranti dengan skrin bersaiz besar sudah banyak berubah sejak dua tahun yang lalu. Galaxy Note ialah peranti niche yang mensasarkan golongan kecil pengguna yang memerlukan peranti yang boleh menjadi pejabat mudah alih di dalam telapak tangan.

Komen