Cari @ Amanz

Google pada awal bulan ini telah pun mengumumkan pengenalan Android 9.0 Pie yang menyertakan sejumlah ciri-ciri baru bersama-sama dengannya. Kini, selain daripada versi penuh Android, Google hari ini turut mengumumkan pengenalan Android 9 Pie (Go Edition) yang ditujukan kepada peranti berspesifikasi asas.

Pengenalan versi baru ini adalah kesinambungan daripada Android Oreo (Go Edition) yang telah dilancarkan sebelum ini. Sejak dilancarkan, sejumlah peranti telah dilancarkan dengan spesifikasi asas dan memori sekitar 1GB RAM, termasuk daripada Nokia dan Wiko untuk pasaran Malaysia.

Selain daripada memori, peranti Android Go juga sering hadir dengan skrin HD atau VGA, pilihan storan bermula 4GB, dan turut hadir dengan sokongan rangkaian 3G atau 4G. Google sendiri menyediakan sejumlah aplikasi yang dioptimasikan untuk Android Go ini yang mampu beroperasi diluar-talian dan tidak menggunakan ruangan storan yang tinggi.

Melalui Android 9 Pie (Go Edition), Google menjanjikan masa boot yang lebih pantas, sokongan sekuriti ditambah-baik, lebih banyak ruangan storan untuk digunakan pengguna, dan juga sebuah halaman khusus untuk memantau penggunaan data anda.

Google turut mengatakan sekitar 100 pengeluar menyasarkan untuk melancarkan peranti Android Go mereka menjelang penghujung tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd