ASUS Zenbook Pro 15 Dilancarkan Di Malaysia – Versi Intel Core i9 Dijual Pada Harga RM 10,999

ASUS Zenbook Pro 15 Dilancarkan Di Malaysia – Versi Intel Core i9 Dijual Pada Harga RM 10,999

Diterbitkan pada Ogos 28, 2018 oleh .

Pada bulan Mei tahun ini ASUS telah memperkenalkan Asus Zenbook Pro, iaitu komputer riba berprestasi tinggi dan membawakan pelbagai spesifikasi terkini seperti Intel Core i9 dan kad grafik NVIDIA Geforce GTX 1050Ti. Pada hari ini pihak ASUS Malaysia mengumumkan penawaran komputer riba ini di pasaran tempatan pada tiga variasi.

Untuk variasi pertama, ASUS Zenbook Pro 15 ditawarkan dengan Intel Core i9 8950HK, 16GB RAM, beserta kad grafik NVIDIA GTX 1050Ti 4GB dan paparan 4K. Ia turut membawakan kapasiti storan 1TB PCIE x 4 SSD dan ini dijual di pada harga RM 10,999.

Manakala untuk variasi kedua pula menggunakan cip pemprosesan berlainan iaitu Intel Core i7, 16GB RAM, dengan kad grafik NVIDIA GTX 1050Ti 4GB serta paparan 4k. Ia juga turut membawakan kapasiti storan 1TB PCIE x 4 SSD dan ini dijual di pada harga RM 8,999.

Untuk variasi ketiga, ia menggunakan Intel Core i7 namun dengan paparan 1080p dan mempunyai RAM sebanyak 8GB DDR4 dan disertakan kad grafik NVIDIA GTX 1050 4GB. Kapasiti storannya juga lebih kecil iaitu sebesar 512GB PCIE x 4 SSD dan dijual pada harga RM 5,999.

Melengkapkan ketiga-tiga model ini, adalah ScreenPad, iaitu trackpad dengan paparan IPS yang boleh menjadi skrin kedua untuk pengguna. Paparan skrin ini bersaiz 5.5-inci serta mempunyai resolusi 1080p, serta mempunyai 4 mod berbeza, membolehkan ia dioperasikan sebagai paparan tambahan, atau menjalankan aplikasinya yang tersendiri.Pengguna boleh menjalankan aplikasi ringkas seperti kalkulator, memainkan lagu dari Spotify, memaparkan kalendar, menonton video YouTube dan pelbagai lagi.

Untuk ketiga-tiga model ini yang ditawarkan di pasaran tempatan, ia mempunyai paparan 15.6-inci dengan warna yang disahkan oleh Pantone, sekaligus membantu mereka yang ingin mendapatkan komputer riba untuk tujuan kerja dunia kreatif. Selain dari itu, ia juga turut dilengkapi dengan bateri yang mampu bertahan sehingga 14 jam.

Dengan hadirnya ASUS Zenbook Pro di pasaran tempatan, ia sekaligus menambahkan pilihan untuk pengguna tempatan dalam pencarian mereka untuk laptop yang berprestasi tinggi, dan mampu melengkapkan pelbagai kerja kreatif.

Baca: Pandang Pertama Asus Zenbook Pro


TIPS & ULASAN