Lenovo Yoga Book C930 Yang Dilengkapi Dwi Skrin LCD Dan E-Ink Dilancarkan

Lenovo Yoga Book C930 Yang Dilengkapi Dwi Skrin LCD Dan E-Ink Dilancarkan

Diterbitkan pada Ogos 31, 2018 oleh .

Dua tahun yang lalu Lenovo Yoga Book dilancarkan dengan skrin LCD dan papan kekunci fizikal yang menggunakan pad sesentuh. Ini ialah percubaan awal Lenovo untuk menjadikan tablet lebih berguna dalam penggunaan seharian. Di IFA hari ini Lenovo Yoga Book C930 dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan serta fungsi baharu berbanding model terdahulu.

Ia kini dilengkapi sebuah skrin 10.8″ IPS LCD QHD sesentuh dan sebuah skrin e-ink yang juga mempunyai sokongan sesentuh. Skrin sekunder e-ink ini masih boleh berubah menjadi sebuah papan kekunci, skrin lakaran yang menyokong stylus dan sebuah pembaca buku elektronik. Ini menggantikan rekaan papan kekunci Halo sebelum ini yang hanya mempunyai mod papan kekunci dan skrin lakaran menggunakan stylus.

Pemproses pada Yoga Book C930 juga jauh lebih berkuasa dengan penggunaan Intel Core-m3 7y30 berbanding hanya Intel Atom dua tahun yang lalu dan memori sebesar 4GB RAM. Kesemua ini di dalam kerangka setebal 9.9 mm dan seberat 790 gram sahaja.

Lenovo masih melihat Yoga Book C930 sebagai tablet yang lebih produktif kerana menggunakan sistem operasi Windows 10. Oleh itu hanya model Windows 10 akan dihasilkan kali ini tidak seperti Yoga Book asal yang turut hadir dengan sistem operasi Android.  Terdapat sokongan pengimbas cap jari terbina bagi mereka yang mementingkan keselamatan peranti.

Satu perkara yang menarik ialah papan kekunci e-ink Yoga Book C930 mempunyai animasi seperti ianya ditekan dengan sokongan haptik dan bunyi. Kerana tiadanya komponen mekanik ketika menaip, ini diharap akan mengurangkan kecanggungan ketika menggunakannya.

Terdapat sokongan 30 bahasa sejurus selepas pelancaran dan kecerdasan buatan yang mempelajari tabiat pengguna ketika menaip. Kerana penggunaan papan kekunci sesentuh, susunan papan kekunci ini boleh diubah (QWERTY atau DVORAK) dengan mudah seperti papan kekunci pada sebuah telefon pintar.

Seperti peranti Yoga yang lain, ia mempunyai skrin yang boleh diputarkan 360 darjah dengan rekaan tali jam yang sinonim dengan peranti keluaran Lenovo. Stylus yang disertakan mampu mengesan 4096 tahap tekanan dan bersambung secara magnetik ke panel belakang Yoga Book C930.

Lenovo Yoga Book C930 akan mula dijual di Eropah serta Timur Tengah bermula September ini pada harga Euro 999 (~RM 4089) sebuah.


TIPS & ULASAN