Cari @ Amanz

Seperti yang semua sedia maklum, minggu ini Apple akan melancarkan tiga iPhone baru. Mengikut ura-ura, ia adalah iPhone XC/XR, iPhone Xs dan iPhone Xs Max. Jadi, pada tahun 2018 ini percaya atau tidak iPhone adalah peranti pintar yang patut anda miliki. Kenapa? Ini adalah 9 sebab kenapa iPhone lebih baik dari peranti Android.

1. Kemaskini iOS

Apple sehingga hari ini, tidak melupakan peranti generasi lama mereka. Bayangkan, iPhone 5S yang dilancarkan pada tahun 2013 sehingga hari ini masih menerima kemaskini iOS 12. Ini bermakna, Apple masih memberi kemaskini iOS walaupun peranti generasi lama mereka sudah berusia lima tahun. Peranti Android pula, hanya berjumlah tiga tahun. Di mana dalam tempoh tersebut, dua tahun kemaskini sistem operasi dan tiga tahun kemaskini tampalan sekuriti.

2. Ekosistem iOS

Kebanyakan penggemar produk Apple, pasti akan memiliki sekurang-kurangnya dua produk mereka. Seperti iPhone dan iPad, iPhone dan Macbook atau kesemuanya sekali. Ekosistem iOS ini sangat baik, sehinggakan pengguna boleh menjawab panggilan telefon dan membalas SMS dari iPhone secara terus dalam Macbook atau iPad. Kemudian, tidak lupa juga dengan pembesar suara Apple Homepod. Apabila ditambat pada iPhone, pengguna dengan mudah boleh mengawal muzik dari Apple Music dan juga banyak peranti berhubung dengan arahan suara melalui Siri.

3. Kawalan Gesture

Kawalan gesture mula diperkenalkan pada iPhone X. Jika Apple tidak mengimplementasikan kawalan ini, pasti tiada peranti Android yang akan mengikut jejak langkah Apple. Kawalan gesture iPhone X tidak dinafikan adalah antara yang terbaik. Ia sangat lancar, animasinya cantik dan juga mudah digunakan. Jika pada peranti Android, kawalan gesturenya adalah bergantung kepada pengeluar peranti dan ia berbeza. Jadi, pengguna yang banyak memiliki banyak peranti Android pasti akan keliru.

4. Terbitan Media Sosial

Jika anda yang tidak tahu, Instagram pada awalnya adalah aplikasi media sosial yang khusus dibangunkan untuk pengguna iPhone. Oleh yang demikian, hasil gambar yang dimuat naik ke Instagram dari iPhone lebih cantik dari Android. Lebih-lebih lagi hasil video yang dimuat naik. Hasil video dari iPhone generasi lama lebih cantik berbanding peranti mercu Android jika dimuat naik pada Instagram Stories atau Instagram Live. Perkara yang sama jika pengguna memuat naik melalui aplikasi media soaial Facebook, Snapchat atau panggilan video WhatsApp.

Instagram IGTV

5. Screen Time

Pada iOS 12, Apple memperkenalkan fungsi Screen Time. Screen Time adalah satu fungsi yang boleh dikatakan sangat sama dengan Digital Wellbeing yang hadir pada Android 9.0 Pie. Cuma kali ini, Apple yang mulakan dahulu. Melalui Screen Time, pengguna boleh melihat berapa jam telah mereka habiskan masa pada sesuatu aplikasi. Seterusnya, Screen Time turut boleh diselarikan dengan tetapan ‘Do Not Disturb‘ agar ia tidak mengganggu pengguna pada waktu tidur. Berbeza dengan Android, Screen Time pada iOS turut boleh diselarikan dengan banyak peranti. Ini bermakna, jika pengguna iPhone tadi memiliki lebih dari satu iPhone atau iPad – mereka turut boleh lihat penggunaan aplikasi pada berbeza peranti dalam satu peranti.

6. Pengoptimasian Sistem Dan Aplikasi

Baik ketika membuka atau menutup aplikasi, anda akan perasan di iOS ianya lebih cantik, lancar dan menarik jika digunakan. Jika dibandingkan dengan peranti Android yang mempunyai pelbagai jenis antaramuka seperti EMUI, MIUI, ColorOS, Oxygen OS atau sebagainya – animasinya dan kelancarannya sangat berbeza. Ada yang sedikit lengah masa ada juga yang terlebih pantas.

7. Inovasi Fungsi/Ciri Dari Android

Betul! Ramai yang mengatakan Apple kerap meniru fungsi dan ciri dari Android. Tetapi pada Android 9.0 Pie kali ini, jika anda perasan persamaan antara iOS dan Android banyak. Google tiru Apple? Walaupun iOS meniru fungsi dari Android, apa yang menariknya adalah inovasi dan pengoptimasian yang dibawakan oleh Apple. Fungsi yang ditiru ini adalah lebih baik di iOS berbanding Android. Contoh, kemampuan meletak widget. Di iOS, terdapat satu talam khas untuk widget dan ia mudah diakses dengan hanya tatalan ke atas dan ke bawah.

Apple iPhone X

8. Pengoptimasian Permua

Permua yang dinantikan ramai sering diperkenalkan untuk peranti iOS terlebih dahulu – sebagai contoh Fortnite. Malah terdapat sejumlah permainan yang ditawarkan untuk platform iOS sahaja, dan tidak terdapat pada platform Android. Selain itu, permintaan spesifikasi untuk permua pada peranti iPhone juga tidak begitu tinggi – sekaligus membolehkan peranti berusia beberapa tahun masih boleh memainkannya.

9. Sokongan Aksesori Untuk iPhone

iPhone turut terkenal dengan banyak pilihan aksesori. Menarik dengan iPhone adalah aksesori dari iPhone generasi lama masih boleh digunakan pada iPhone generasi seterusnya. Contoh, kerangka iPhone 5 masih boleh digunakan pada iPhone 5S dan iPhone SE. Begitu juga dengan pelindung skrin. Kemudian, kerangka pelindung pula iPhone 7/7 Plus boleh digunakan pada iPhone 8/8 Plus. Bolehkah aksesori dari OnePlus 5 digunakan pada OnePlus 5T atau aksesori dari Galaxy S8 diguna semula pada Galaxy S9? Hanya iPhone sahaja boleh.


Seperti biasa, setiap sistem operasi mempunyai kelebihan dan kekurangan mereka tersendiri. Tidak ketinggalan adalah iOS berbanding dengan Android, dan begitu juga sebaliknya. Seperti biasa, setiap pilihan ada ditangan pengguna, dan anda perlulah memastikan sesuatu peranti ini sesuai dengan penggunaan harian anda.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd