Carian
Canon EOS R Dilancarkan Di Malaysia Pada Harga Bermula RM9888
September 20, 2018 Aman

Jikalau semalam kita melihat Nikon melancarkan kamera terbaru mereka, hari ini Canon turut tidak ketinggalan, dan telah pun mengumumkan Canon EOS R untuk pasaran Malaysia secara rasminya.

Canon EOS R

Canon EOS R merupakan kamera nircermin berbingkai-penuh daripada Canon, dimana ia hadir dengan sensor 30.3-megapixel dan mampu merakamkan gambar sehingga 8 keping sesaat. Kamera ini juga turut menyokong rakaman video 4K 30fps melaluinya. Canon mengatakan kamera ini hadir dengan penggunaan dwi-pixel yang membolehkan sesuatu objek difokuskan dalam masa hanya 0.05 saat.

Melengkapkan kamera terbaru Canon ini adalah sokongan cagak dinamakan R-Mount, yang mana membolehkan pengguna menghubungkan lensa tambahan kepada kamera. Ia turut menyokong lensa EF, EF-S, TS-E dan juga MP-E melalui penggunaan penyesuai yang ditawarkan.

Canon EOS R turut menyertakan skrin sesentuh LCD 3.15-inci, selain sokongan sambungan moden seperti penggunaan Bluetooth dan juga WiFi.

Di Malaysia, Canon EOS R akan ditawarkan pada harga RM9,888 untuk kamera sahaja. Sementara kit asas yang turut hadir dengan lensa 24-105mm dijual pada harga RM14,688. Pengguna boleh melakukan pra-tempahan untuknya bermula 26 September 2018, dan ia boleh diambil mulai 9 Oktober 2018.

Komen