SKMM semalam telah pun mengumumkan yang mana pakej internet jalur-lebar talian-tetap baru kini jauh lebih murah berbanding sebelumnya, selain menawarkan kelajuan yang lebih pantas. Kini, lanjutan daripadanya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut telah mengeluarkan kenyataan beliau tersendiri.
Melalui kenyataan yang diterbitkan hari ini, Gobind Singh Deo mengatakan beliau telah meneliti pakej berkenaan, dan dapati tiada sebarang cadangan dibawa untuk mengatasi masalah pengguna perkhidmatan Streamyx.
Untuk makluman, pelbagai pakej jalur-lebar talian tetap berkelajuan tinggi telah diturunkan harga, tetapi pengguna Streamyx masih terpaksa membayar harga yang sangat tinggi – mencapai RM110 untuk hanya 1Mbps. TM, pada masa yang sama turut menawarkan pakej 100Mbps pada harga RM129 untuk pelanggan mereka – sekaligus memperlihatkan ketidak-adilan dalam harga yang ditetapkan.
Telekom Malaysia sebelum ini telah mengatakan mereka akan meningkatkan kelajuan internet untuk pelanggan Streamyx sedia ada. Namun, tiada info lanjut yang dikongsikan untuk pengguna – terutamanya untuk pengguna yang tidak berada di kawasan liputan Unifi.
Selain daripada itu, Gobind Singh Deo turut mengatakan yang mana beliau mendapati penurunan harga perkhidmatan untuk sejumlah pakej perkhidmatan ini tidak memberikan manfaat serta-merta kepada pengguna sedia-ada – memandangkan pengguna masih terpaksa membayar harga lama, dan ada sejumlah pengguna yang masih tidak menerima naik-taraf kelajuan lagi dan perlu membayar harga yang tinggi.
Menteri mengatakan beliau akan bertemu wakil-wakil syarikat telekomunikasi untuk membincangkan hal-hal ini dalam masa terdekat ini.