Carian
OpenSignal : Kelajuan 4G Dan Penstriman Video Di Malaysia Antara Paling Buruk Di Dunia
October 10, 2018 Effi Saharudin

Kelajuan perkhidmatan data selular 4G adalah penting bagi memastikan kandungan video dapat distrim dengan lancar. Seperti kami laporkan sebelum ini, 15% trafik internet tahun ini diambil oleh perkhidmatan penstriman Netflix.Berita buruk bagi pengguna di Malaysia ialah negara kita terletak di antara kedudukan rendah dari segi kelajuan muat turun 4G dan penstriman video menurut laporan terkini OpenSignal.

OpenSignal mengumpul data dari lebih 8 Juta peranti pengguna yang menetap di 69 negara. Malaysia di tangga ke-54 dengan kelajuan muat turun 4G purata 10.21 Mbps. Korea Selatan di tangga teratas dengan kelajuan purata 45.58 Mbps. Di rantau Asia Tenggara, Singapura di tangga teratas dengan kelajuan purata 38.11 Mbps diikuti oleh Myanmar (14.47 Mbps) dan Vietnam (11.78 Mbps).

 Dari segi pengalaman menstrim video menggunakan sambungan selular pula, Malaysia di tangga ke-60 dengan 46.76 markah (dari 100). Republik Czech di tangga teratas dengan 68.52 markah. Sekali lagi untuk rantau Asia Tenggara Singapura di tangga teratas dengan 66.94 markah diikuti oleh Myanmar (56.44) dan Vietnam (51.8).

Sebagai rakyat Malaysia laporan OpenSignal ini adalah sedikit memalukan bagi sebuah negara yang terawal mempunyai inisiatif internet menerusi MSC lebih dua dekad lalu. Dimanakah kesilapan kita sehingga kelajuan internet selular lebih rendah berbanding Myanmar dan Vietnam?

Komen