Model dengan huruf ‘T‘ buat OnePlus bermula pada tahun 2016 dengan OnePlus 3T. Huruf ‘T’ digunakan sebagai ejekan kepada Apple yang menggunakan huruf ‘S‘. Model telefon pintar OnePlus dengan huruf ‘T’ kebiasaannya hanya menerima kemaskini kecil, kini untuk tahun 2018 – kemaskini kepada OnePlus 6 adalah OnePlus 6T.
OnePlus 6T hadir dengan spesifikasi yang hampir sama dengan OnePlus 6. Masih lagi dijana dengan Snapdragon 845, masih lagi dengan pilihan memori dari 6GB sehingga 8GB RAM dan menariknya – kini pilihan storan bermula pada 128GB. Untuk kamera pula, sayang sekali langsung tiada beza dari segi sensor iaitu kekal dengan dwi-lensa 16+20 megapixel buat kamera utama dan 16 megapixel kamera swafoto. Cuma kali ini, OnePlus mula mengikuti jejak langkah Huawei dan Google dengan mod malam mereka tersendiri.
Dari segi rekaan, OnePlus 6T adalah sedikit lebih tebal kerana OnePlus memuatkan sensor pengimbas cap jari dalam skrin serta bateri berkapasiti 3700mAh. Untuk skrin, ia sedikit lebih besar dan ‘dagu’ di bawah sedikit lebih nipis. Kali ini, OnePlus hadir dengan skrin 6.41-inci dengan rekaan takuk kecil. Jika anda lihat, di bahagian bawah – tiada lagi port bicu audio 3.5mm kerana alasan OnePlus adalah untuk memuatkan sensor baru dan bateri yang lebih besar. Masih lagi menyokong pengecasan pantas (Dash) 5V4A iaitu sekitar 20w sahaja.
OnePlus 6T turut akan hadir ke pasaran Malaysia lebih awal dari yang dijangkakan, kerana pengedar rasmi OnePlus di Malaysia akan membuka tempahan bermula hari ini. Harga yang ditawarkan adalah lebih murah dari yang kami jangkakan iaitu RM2599. Berikut adalah harga rasmi;
- OnePlus 6T 128/6 GB – RM2588
- OnePlus 6T 128/8 GB – RM2888
- OnePlus 6T 256/8 GB – RM3188
Untuk pilihan warna, masih lagi sama iaitu Midnight Black dengan kemasan hitam pusam dan Mirror Black untuk kemasan berkilat. Tempahan ini dibuka bermula hari ini iaitu 30 Oktober sehingga 7 November. Jangkaan peranti ini tiba adalah 9 November kelak.
Ikuti kami di Amanz, untuk pandang pertama atau juga ulasan – sama-sama kita nantikan.