Pemproses Exynos 9820 Diumumkan Dengan Cip NPU – Bakal Digunakan Pada Galaxy S10

Pemproses Exynos 9820 Diumumkan Dengan Cip NPU – Bakal Digunakan Pada Galaxy S10

Diterbitkan pada November 14, 2018 oleh .

Pemproses Exynos 9820 telah diumumkan secara rasmi oleh Samsung hari ini. Ia adalah pemproses terkini dari Samsung dan bakal digunakan pada peranti mercu Galaxy S10 kelak. Berbeza dengan Exynos 9810 sebelum ini, Exynos 9820 mempunyai cip NPU khusus untuk kegunaan kecerdasan buatan pada peranti.

Menurut Samsung, Exynos 9820 yang dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 8nm. Buat pertama kali juga konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras custom dipadankan dengan dua teras Cortex-A75 dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55.

Ini membawakan peningkatan 20% pada kemampuan memproses satu teras dan 15% untuk kemampuan memproses multi-teras jika dibandingkan dengan Exynos 9810. Pada waktu yang sama ia mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 40%.

Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP12 yang memberikan peningkatan grafik sehingga 40% tetapi menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 35%. Kerana peningkatan kuasa memproses ini, Exynos 9820 boleh menyokong rakaman video pada tetapan 8K 30FPS. Exynos 9820 akan mula dihasilkan penghujung tahun ini dan akan digunakan pada peranti mercu.


TIPS & ULASAN