Project Treble sepatutnya mempercepatkan proses kemaskini versi Android. Ia diperkenalkan pada tahun 2017 menerusi Android Oreo. Tetapi terdapat beberapa pengeluar seperti Samsung dan Nokia tidak menyokong Treble apabila peranti dikemaskini dari Nougat. Google telah mengesahkan kesemua peranti yang dilancarkan dengan Pie dan ke atas selepas ini akan menyokong Treble.
Google memperlihatkan peranti dari pelbagai pengeluar menggunakan Generic System Image (GSI) yang sama di dalam gambar di atas. GSI dihasilkan dari binaan AOSP terkini untuk menguji kesesuaian binaan ini dengan peranti mereka. Selepas melepasi ujian pengeluar kemudian hanya perlu menggunakan pelancar keluaran mereka sebelum kemas kini diberikan kepada pengguna. Dengan ini proses mengemaskini Android akan menjadi lebih pantas dari sekarang.
Kami yakin terdapat sebilangan pengguna Amanz yang pasti terliur melihat gambar peranti pelbagai pengeluar menggunakan Android Asli di atas lengkap dengan navigasi berasaskan gesture. Kami sendiri hanya mampu mengharap selepas ini pengguna diberikan pilihan menggunakan Android Asli sepenuhnya pada peranti keluaran mereka. Peranti terakhir yang membenarkan mod ini ialah Lenovo Vibe Z2 Pro empat tahun yang lalu.