PLUS kini dilihat telah memulakan pendaftaran untuk menguji PLUS RFID – iaitu sebuah mod pembayaran untuk tol RFID menggunakan kad kredit atau debit. Langkah ini dijayakan oleh PLUS melalui kerjasama bersama pihak bank, selain mana menggunakan sokongan platform terbuka untuk tol berasaskan RFID.
Ini juga sekaligus memperlihatkan ia akan hadir sebagai alternatif kepada Touch ‘n Go, dan membuka peluang kepada syarikat lain untuk turut menyertai dalam membuat penawaran masing-masing.
PLUS RFID ini dipautkan terus ke akaun kad kredit atau debit seseorang pengguna – dan potongan akan dilakukan terus padanya. Ini sekaligus tidak memerlukan anda membuat tambah-nilai seperti pada Touch ‘n Go Ewallet, dan bergantung terus ke akaun bank anda.
Menariknya, PLUS RFID juga turut akan membolehkan palang tol terbuka sekiranya baki akaun tidak mencukupi untuk kali pertama – dan memerlukan anda membayarnya kepada bank sebelum akaun anda diaktifkan kembali. Ini berbeza dengan pengguna Touch ‘n Go masa kini yang mana membuatkan pengguna terpaksa tersangkut pada palang tol, sekaligus meningkatkan kadar trafik di tol.
Untuk peringkat permulaan, ujian ini akan dilakukan mulai 15 Disember 2018 ini di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Kubang Semang (BKE), Plaza Tol Lunas (BKE) dan juga Plaza Tol Jitra.
Bagi anda yang berminat, boleh melakukan pendaftaran minat pada laman PLUS RFID hari ini, dan menjadi antara yang terawal mengujinya sebelum pengenalan secara lebih meluas.
- Layari : PLUS RFID