Carian
Apple Dilaporkan Akan Menjual Semula iPhone X Kerana Jualan iPhone XS Dan XR Yang Lemah
November 23, 2018 Effi Saharudin

iPhone XS Max ialah telefon pintar terbaik pernah dihasilkan oleh Apple. Di dalam ulasan iPhone XS Max kami, ia menerima markah yang baik kerana pemproses paling berkuasa, kelancaran sistem operasi, skrin yang cantik serta kemampuan kamera yang baik. Tetapi markah negatif diberikan kerana harga jualannya yang terlalu melampau. iPhone XR ialah peranti yang lebih mampu milik dengan rekaan hampir serupa dengan XS dan XS Max.

Apple iPhone 2018Menurut laporan Wall Street Journal, jualan ketiga-tiga peranti baharu ini adalah lemah dari jangkaan sehingga merisaukan Apple. Oleh sebab itu mereka mungkin akan menjual semula iPhone X di beberapa pasaran terpilih. iPhone X dan XS berkongsi komponen skrin OLED yang sama sama dan ini boleh mengurangkan lambakan komponen yang telah dipesan.

Pada waktu yang sama Apple memberikan subsidi harga ke atas iPhone XR di Jepun bagi meningkatkan jualan. Di negara matahari terbit, jualan iPhone 8 dan 8 Plus adalah lebih tinggi berbanding model-model baharu. Potongan harga yang diberikan ke atas XR ini mungkin satu lagi petanda merisaukan kerana Jepun ialah pasaran iPhone keempat terbesar selepas Amerika Syarikat, Eropah dan China.

Komen