TNB Dijangka Memperluaskan Ujian Rintis Jalur-Lebar Ke Kawasan Baru

TNB Dijangka Memperluaskan Ujian Rintis Jalur-Lebar Ke Kawasan Baru

Diterbitkan pada November 26, 2018 oleh .

Pada bulan Julai lepas, Tenaga Nasional Berhad telah mengumumkan yang mana mereka akan memulakan ujian rintis untuk penawaran jalur-lebar di Jasin – melibatkan sekitar 1100 rumah di Taman Merbau, Taman Maju dan juga Felda Kemendor.

Terkini, laporan lanjutan hadir mengatakan Tenaga Nasional akan memperluaskan kawasan untuk ujian rintis ini. Menurut TheMalaysianReserve, TNB dijangka mengujinya di dua buah Felda bermula Disember 2018 ini. Felda yang terlibat tidak dinamakan lagi buat masa ini.

Internet

Untuk makluman, Tenaga Nasional sedia mempunyai liputan jaringan fiber optik sepanjang 12,000 km – dimana ia digunakan untuk memantau keadaan jaringan elektrik. Ini sekaligus membuatkan penggunaan rangkaian berkenaan adalah sangat kecil, sekaligus membolehkan syarikat berkenaan menawarkan perkhidmatan internet melaluinya untuk sejumlah kawasan.

Dengan ujian rintis ini, TNB dilihat ingin menguji penawaran jalur-lebar mereka pada pelbagai keadaan, selain turut menguji konsep akses terbuka yang membolehkan penyedia menggunakan rangkaian TNB dalam menawarkan akses internet kepada pelanggan.

Kita mungkin mendengar lanjut mengenai penawaran TNB ini dalam bulan-bulan akan datang.



TIPS & ULASAN