Cari @ Amanz

Tablet Microsoft Surface sehingga hari ini tidak mempunyai port USB-C kecuali tablet kelas pertengahan mereka iaitu Surface Go. Akan datang, Microsoft dilihat mungkin akan hadir dengan sebuah Surface Pro dengan USB-C dan juga bingkai yang lebih nipis. Ia dikatakan akan hadir pada penghujung tahun 2019.

Maklumat ini diperoleh dari Brad Sams, seorang pemerhati Microsoft yang boleh dipercayai. Beliau turut mengatakan, Microsoft akan hadir dengan peranti Surface dengan sensor ambient untuk tujuan navigasi dan input teks – ia mungkin adalah sejenis telefon pintar. Turut tersenarai adalah komputer riba Surface Laptop yang dijana dengan cip pemproses AMD. Ini mungkin kerana, Microsoft sudah serik dengan Intel yang lambat beralih dari cip 14nm ke 10nm. Sedangkan AMD dikatakan sudah dalam proses dengan cip 7nm untuk komputer riba.

Mengejutkan, sebuah tablet boleh lipat turut dikatakan bakal dihasilkan oleh Microsoft. Ia dinamakan Andromeda, tablet dwi-skrin dengan sokongan LTE. Kemudian, Surface Book baharu turut akan hadir pada suku pertama 2020 dan pada tahun yang sama Surface Studio atau paparan modular turut akan dihasilkan. Surface Studio baru ini adalah modular seperti Surface Hub yang pernah kami tulis. Jadi dengan bahagian yang modular, pengguna boleh kekal menggunakan Surface Monitor dengan menukar bahagian modular yang mempunyai spesifikasi baru.

Ini semua hanya satu rancangan Microsoft. Mana-mana peranti yang  dinyatakan mungkin akan jadi realiti atau hanya fantasi dan rancangan semata-mata.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd