Cari @ Amanz

Pertelingkahan antara Apple dan Qualcomm kini dilihat berterusan pada peringkat global. Selepas memenangi injunksi mahkamah di China, kini Qualcomm dilihat turut menerima keputusan mahkamah yang sedikit memihak kepada mereka di Jerman.

Di Jerman, Qualcomm dilaporkan memenangi injunksi terhadap Apple, dimana beberapa model iPhone yang menggunakan cip modem Intel dikatakan telah melanggar salah satu paten milik Qualcomm yang memfokuskan kepada penjimatan tenaga bateri pada telefon ketika menghantar dan menerima signal rangkaian mudah-alih.

Mahkamah mengatakan yang mana beberapa model iPhone yang terlibat tidak boleh dijual di Jerman – tetapi halangan ini tidak akan dikuat-kuasa sekiranya Apple membuat rayuan. Apple sendiri mengatakan mereka akan membuat rayuan untuk keputusan mahkamah berkenaan.

Apple mengatakan mereka akan berhenti menawarkan iPhone 8 dan iPhone 8 melalui kedai jualan Apple di Jerman. Namun, model berkenaan masih boleh didapati melalui syarikat telekomunikasi, dan kedai jualan lain.

Model lain seperti iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR yang baru masih akan kekal ditawarkan oleh Apple melalui kedai jualan mereka seperti biasa.

Dengan pengumuman di Jerman ini, ia boleh dikatakan sebagai kemenangan kedua terbesar untuk Qualcomm terhadap Apple, selepas pengumuman mahkamah di China pada minggu lepas.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd