Cari @ Amanz

Kita sudah tahu, setiap tahun sejak 2016 – Google akan lancarkan dua jenis telefon pintar Pixel. Satu adalah Pixel yang bersaiz kecil dan satu lagi adalah Pixel XL yang bersaiz besar. Tahun 2018, Google hadir dengan Google Pixel 3 dan Google Pixel 3 XL. Kebiasaannya, selain dari saiz – Pixel 3 dan Pixel 3 XL akan mempunyai jenis skrin yang berbeza dan saiz bateri yang satu kecil lagi satu besar.

Bulan lepas, saya sudah ulas Pixel 3 XL. Ia adalah satu peranti yang puas untuk digunakan tetapi menjengkelkan kerana beberapa isu yang hadir. Kini, selepas kemaskini bulan Disember – Google telah menambahbaik banyak perkara pada Pxiel 3 dan Pixel 3 XL dan yang paling menarik adalah isu pengurusan RAM kini sudah diperbaiki. Ini adalah ulasan Pixel 3 selepas kemaksini Disember.

Spesifikasi

Google Pixel 3
Skrin 5.5-inci AMOLED
Chipset Qualcomm Snapdragon 845
CPU 4×2.5 GHz Kryo 385 Gold & 4×1.6 GHz Kryo 385 Silver
GPU Adreno 630
Memori 4GB RAM
Storan 64GB/128GB
Kamera Utama 12.2MP f/1.8
Kamera Hadapan 8MP f/1.8 lensa lebar & 8MP f/2.2 lensa ultra-lebar
Sambungan Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
Bluetooth 5.0
USB-C 3.1 PD 2.0
Sistem Android 9.0 Pie
Bateri 2915mAh, Power Delivery 18W.        Pengecasan pantas nirwayar 10W

Google Pixel 3 menggunakan skrin OLED dengan rekaan tanpa takuk. Ia bersaiz 5.5-inci dengan resolusi FHD+ 1080 x 2160. Walaupun skrinnya tidak sehebat Pixel 3 XL yang dinotbatkan sebagai skrin pada telefon Android terbaik, skrin Pixel 3 sangat memuaskan. Kontra warna, kecerahan dan butiran dari kandungan sangat menarik.

Sama seperti abangnya, Pixel 3 dijana dengan Snapdragon 845 dan dipadankan dengan RAM 4GB dengan pilihan storan 64GB atau 128GB. Tiada port untuk bicu audio, mempunyai port USB-C, slot sim berada di abwah sebelah port USB-C, kosong di sisi kanan, sisi kiri pula adalah butang kuasa dan butang aras suara dan akhir sekali di bahagian atas hanya terdapat lubang mikrofon. Untuk kamera utama, ia menggunakan lensa 12.2 megapixel dan kamera swafoto adalah dwi-lensa 8+8 megapixel.

Pixel 3 menjalankan Android asli versi 9.0 Pie yang penuh dengan ciri-ciri pintar seperti pembantu maya Google Assistant, Adaptive Display, Adaptive Battery dan sokongan kemaskini yang pantas. Bercakap mengenai ciri-ciri pintar, aplikasi kameranya juga penuh dengan fungsi pintar seperti Top Shot, zoom pintar dan pelbagai lagi.

Untuk bateri pula, ia adalah bateri paling kecil dalam keluarga peranti mercu Android 2018 – iaitu 2915mAh. Pengecasan pula menggunakan pengecasan pantas Power Delivery 2.0 bersama-sama dengan sokongan pengecasan pantas nirwayar 10W. Untuk perlindungan, Pixel 3 adalah kalis air dan debu IP68.

Rekaan

Jika dibandingkan dengan Pixel 3 Xl, Pixel 3 adalah rekaan yang paling ringkas, kemas dan cantik. Pixel 3 XL terlampau besar bagi saya dan takuknya sangat mengganggu. Pixel 3 turut menggunakan panel kaca dibelakang, Seperti Pixel 2 ataun Pixel 2 XL, penggunaan warna dua tona masih lagi dikekalkan – cuma dua tona pada Pixel 2 dan Pixel 2 XL adalah dari bahan binaan yang berbeza. Manakala, Pixel 3 dan Pixel 3 XL kekal dengan satu panel kaca sahaja. Google menggunakan kemasan yang menjadikan bahagian bawah panel ini kesat.

Di bahagian hadapan, walaupun ia tiada takuk – bingkai atas dan bawah adalah tebal kerana ia memuatkan pembesar suara. Jika anda kenal Pixel 2 XL, Pixel 3 adalah lebih kurang saiz Pixel 2 XL yang kecil, tetapi lebih kemas dari Pixel 2. Saiz keseluruhannya kelihatan sedikit memanjang, tetapi pegang di tangan cukup selesa dan mudah untuk dicengkam.

Pixel 3 mempunyai tiga warna pilihan iaitu Hitam Je (Just Black), Jelas Sekali Putih (Clearly White) dan Bukan Merah Jambu (Not Pink). Unit yang saya uji ini adalah warna Bukan Merah Jambu. Oh ya, disebabkan bahan binaannya sama sahaja dengan Pixel 3 XL – jadi ia sangat mudah calar. Cuma warna yang cerah ini menjadikan kesan-kesan calar tidak kelihatan.

Prestasi

Semasa menggunakan Pixel 3 XL, prestasinya agak baik. Tetapi disebabkan pada ketika itu isu pengurusan RAM masih belum diperbaiki, jadi lengah masa, tidak mampu mengurus banyak aplikasi dan bateri yang cepat habis kerap berlaku. Kini, selepas kemaskini – prestasinya bertambah baik.

Sebelum ini di bahagian Developer Option, RAM yang digunakan adalah 3.0GB hingga 3.3GB daripada 4GB. Kini, sistem dilihat hanya menggunakan 2.0GB hingga 2.8GB sahaja daripada 4GB, walaupun banyak aplikasi sudah dibuka. Saya jarang bermain permua pada Pixel 3, tetapi permua seperti PUBG Mobile, Asphalt 9 atau Hitman Sniper – sangat lancar, sangat puas dan sangat mengasyikkan. Digabungkan pula dengan skrin yang baik, pengalaman permua pada Pixel 3 cukup hebat.

Tetapi, jujur saya katakan – Pixel 3 bukanlah peranti mercu yang dibina yang fokus kepada permua. Jika ingin beli peranti mercu untuk permua, lebih baik cari peranti dengan RAM 6GB ke atas. Fokus Google pada Pixel 3 ini adalah untuk para usahawan, peminat fotografi, penggunaan kasual tetapi padat dengan kuasa.

Tidak lupa juga, Pixel 3 ini turut menyokong paparan HDR, jadi saya yang gemarkan tonton drama dan filem banyak menghabiskan masa pada Netflix. Filem yang ditonton dan drama-drama dengan sokongan HDR, warnanya sangat cantik, terang, butiran jelas dan puas hati. Kemudian, dengan pembesar suara stereo pada Pixel 3 ini, sedikit kurang dengan Pixel 3 XL – tetapi cukup mengasyikkan. Di dalam kereta ketika memandu, saya lebih gemar mendengar podcast dan muzik dari Spotify menggunakan Pixel 3 dan tidak menggunakan pembesar suara bluetooth atau radio kereta.

Bateri

Di segmen ini, ia pasti akan mengejutkan para pembaca. Ia akan kedengaran seperti satu perkara tidak masuk akal atau mustahil untuk capai. Walaupun bateri pada Pixel 3 hanya 2915mAh, percaya atau tidak ia cukup untuk kegunaan sepanjang hari.

Saya banyak habiskan masa pada banyak aplikasi sosial media, YouTube, Spotify, Netflix, GMail dan WhatsApp. Kegunaan harian saya dengan kesemua aplikasi ini mampu capai ketahanan bateri sehingga 7 Jam SOT. Ini semua adalah kerana kewujudan Adaptive Display dan Adaptive Battery. Dua fungsi ini adalah fungsi kecerdasan buatan Google dan ia sangat membantu. Untuk pengetahuan tambahan, tetapan saya adalah; NFC, High Accuracy Location, Data dan WiFi adalah sentiasa dibuka dan Bluetooth hanya kadangkala.

Jika saya mula sahaja bermain satu permua, SOT harian saya dari 6-7 jam akan jatuh menjadi hanya 3-4 jam sahaja. Ini kerana, permua memerlukan jumlah RAM yang tinggi serta penggunaan GPU yang kuat – oleh itu penggunaan bateri untuk kuasa akan terkesan. Apa-apa pun, agak terkejut juga – bateri bawah 3K mAh tetap boleh capai 7 jam SOT.

Fungsi Tambahan

Hanya ada dua fungsi tambahan yang saya gemar gunakan pada Pixel 3 ini. Yang pertama adalah sisi yang boleh dipicit, Active Edge untuk seru Google Assistant dan pengecasan nirwayar melalui Pixel Stand.

Active Edge

Fungsi ini mungkin akan dipandang remeh oleh orang ramai orang dan mungkin turut rasa ia tidak diperlukan. Tetapi, Pixel 3 bukanlah sebuah pembesar suara pintar yang mikrofonnya boleh ‘tangkap’ suara bermeter jauhnya. Sebelum ini, pada peranti Android lain – seruan Google Assistant perlu dilakukan dengan menyebut “OK, Google” atau “Hey, Google” dengan sedikit kuat. Selepas itu baru beri arahan.

Kini, dengan adanya Active Edge – picit sisi peranti dan terus beri arahan. Google Assistant kini sudah cukup cekap dan mampu memahami kehendak pengguna. Respon yang diberi juga adalah lebih baik.

Pixel Stand

Masih sama dengan Pixel 3 XL. Pixel Stand adalah pengecas pantas nirwayar untuk Pixel 3 dan Pixel 3 XL. Ia menggunakan kuasa 10W dan boleh beri mengecas Pixel 3 dan Pixel XL dengan kelajuan yang agak pantas. Ya sedikit isu peranti memanas, tetapi ia adalah panas yang boleh diterima.

Kemudian, Pixel Stand ini mempunyai ciri tambahan -di mana ia akan jadikan Pixel 3 sebagai paparan pintar seakan Google Home Hub. Google Assistant akan sentiasa kekal aktif dalam mod Always-On Display. Kemudian, ia turut mempunyai penggera pintar yang akan cerahkan skrin secara automatik serta Live Album yang akan paparkan slideshow album Google Photos yang dipilih.

Kamera

Walaupun skor DxOMark untuk Pixel 3 agak rendah iaitu hanya 101. Di mana markah ini adalah dibawah iPhone XR dan Xiaomi Mi Mix 3. Apa yang anda perlu ingat adalah, skor pada DxOMark ini masih lagi adalah skor tanda aras. Sama seperti Geekbench atau Antutu untuk skor prestasi. Yang penting adalah penggunaan sebenar yang digunakan oleh pengguna – bagaimana pengalamannya dan bagaimana skillnya?

Kamera Pixel 3 adalah tiga lensa, iaitu satu lensa untuk kamera utama dan dwi-lensa untuk swafoto. Kamera Pixel 3 ini bagus pada perisian seperti Top Shot, Zoom atau mod bokeh yang sangat cantik. Tidak lupa juga, hasil HDR+ daripada Pixel 3 ini sangat menakjubkan. Tetapi adalah tidak adil jika anda ingin bandingkan Pixel 3 yang kamera utamanya satu lensa dengan pesaing lain seperti Huawei Mate 20 Pro dengan tiga lensa. Pixel 3 ini walaupun satu lensa, ia cukup baik untuk ‘kalahkan’ peranti yang mempunyai 3 lensa.

Dengan trend mod malam dari Huawei P20, Google turut sertakan mod malam tersendiri pada Pixel 3 melalui Night Sight. Tidak perlu tripod, tetapi perisian yang pintar pada aplikasi kamera Google ini cukup baik untuk beri hasil yang menarik. Di bawah adalah sampel gambar;

This slideshow requires JavaScript.

Kesimpulan

Pada Google Pixel 3 XL, saya tidak gemar dengan RAM 4GB pada peranti itu kerana isu RAM yang terdapat dan tidak dibaiki. Kemudian, selepas dibaiki dengan kemaskini – RAM 4GB pada Pixel 3 bagi saya sangat mencukupi. Mari kita bayangkan OnePlus 6T yang menggunakan 8GB RAM, tetapan yang sama, tiada aplikasi dibuka dan aplikasi latar yang sama ia memakan 4.9GB daripada 8GB. Pixel 3 pula 2.8GB daripada 4.0GB. Nisbah yang hampir sama, jadi apa motif perlu RAM yang tinggi?

Sistem operasi Android asli versi 9.0 Pie ini sangat baik bagi saya. Cukup pintar dan pengoptimasian yang hebat. Versi Android yang ringkas, asas dan tidak pening kepala berfikir nak ubah apa atau ingin tetapkan apa. Pixel 3 ini bagi saya adalah peranti yang sesuai jika pengguna iOS ingin cuba Android. Tidak lupa juga, kamera hebat pada Pixel 3 ini cukup mengagumkan. Jadi, jika beli untuk penggunaan kasual, perusahaan atau fotografi – tidak ada masalah.

Ya, jika dibandingkan ciri pada Pixel 3 ini dengan Mate 20 Pro atau Galaxy Note 9 – banyak kurangnya. Tetapi, perisian dan pengalaman penggunaan asli Android itu, kemaskini pantas, saiz yang cukup dan kamera satu lensa yang hebat, Pixel 3 ini adalah yang terbaik. Harga Pixel 3 pula di Amerika Syarikat adalah $899 (~RM3756) untuk 128GB, di mana itulah versi yang saya gunakan. Jika ditambah dengan penghantaran ke Malaysia selepas kastam dan kos lain-lain, harganya adalah lebih kurang RM4299.

Saya guna Pixel 3 sebagai peranti harian saya kerana, saya dapatkan Pixel 3 ini ketika jualan Black Friday. Jadi, jumlah kos saya adalah sekitar RM3300 sahaja termasuk penghantaran ke Malaysia. Jika anda dapatkan Pixel 3 pada harga sebegini, ia adalah berbaloi untuk dimiliki – tetapi jika beli pada harga biasa, Note 9 adalah pilihan bijak.

PRO KONTRA
  • Pengalaman Android asli terbaik.
  • Kualiti kamera yang mengagumkan.
  • Skrin yang cantik.
  • Pemproses Snapdragon 845 yang hanya 2.5GHz tidak seperti pesaing 2.8GHz.
  • RAM hanya 4GB.
  • Panel kaca yang mudah calar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd