Carian
Honor V20 Dilancarkan Dengan Skrin Berlubang, Kamera 48 Megapixel Dan Fungsi Seakan Kinect
December 26, 2018 Fahim Zahar

Siri Honor V atau Honor View adalah siri peranti mercu utama daripada Honor. Untuk tahun ini, ia adalah Honor V20 atau untuk pasaran global kelak adalah Honor View 20. Selepas banyak perkara tertiris dan diacah oleh Honor, hari ini Honor V20 dilancarkan secara rasmi.

Honor V20 ini dijana dengan cip Kirin 980 iaitu yang sama dengan peranti mercu Huawei Mate 20 Pro. Ia adalah cip lapan teras binaan 7nm yang berkuasa dengan dwi NPU. Skrin pula adalah 6.4-inci IPS LCD FHD+ dengan rekaan berlubang untuk kamera swafoto, memori sehingga 8GB RAM dan storan sehingga 256GB. Kamera yang digunakan adalah dwi-kamera dengan 48-Megapixel dengan sensor Sony IMX586 pada lensa utama dan lensa kedua pula dilengkapi sensor TOF tiga dimensi untuk tujuan realiti terimbuh. Dengan kamera utama ini, peranti mampu merakam video pada tetapan 960FPS.

Kamera swafoto pula adalah sebesar 25-Megapixel. Untuk bateri ia menggunakan bateri sebesar 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 22.5W (4.5V5A) melalui port pengecasan USB-C.

Sedikit tambahan menarik pada kamera Honor V20 adalah ia mempunyai fungsi seakan Kinect dan turut mempunyai integrasi YoYo. Menerusi sensor TOF yang disertakan, peranti boleh mengesan pergerakan tubuh pengguna yang kemudiannya digunakan untuk mengawal watak di dalam permua.

Ketika cara pelancaran dua demo permua berbentuk tarian dan ski diperlihatkan. Watak di atas skrin mengikut arahan yang diberikan menggunakan anggota tubuh sama seperti sistem Kinect pada sebuah Xbox. Sebuah dermaga khusus disertakan bagi tujuan ini bagi membolehkan V20 berfungsi seperti sebuah konsol. Dermaga akan disambungkan kepada skrin TV bagi membolehkan permua dimainkan.

Untuk ciri dan fungsi lain yang menarik, EMUI pada Honor V20 dioptimasi untuk skrin berlubang seperti notifikasi pada kawasan kamera swafoto, YoYo terbina, Link Turbo iaitu sistem WiFi dan 4G pintar dan banyak lagi. Turut terlihat pada acara pelancaran adalah beberapa fungsi kecerdasan buatan seperti GPU Cloud, AI GPS dan banyak lagi.

Honor menawarkan tiga pilihan warna untuk peranti ini iaitu merah, biru dan hitam. Di China ia dijual pada harga RMB2999 (~RM 1817) untuk versi 6GB/128GB, RMB3299 (~RM 1996) untuk versi 8GB/128GB dan akhir sekali RMB 3999 (~RM2419) untuk versi Moschino 8GB/256GB.

Komen