Cari @ Amanz

Honor Turut Melancarkan Pembesar Suara Pintar Honor YoYo Dan Dua Jam Tangan Pintar Honor Magic Blue Dan Honor Watch Magic

Link Copied!

Selesai pelancaran peranti mercu Honor 2018, Honor V20 – mereka turut melancarkan satu pembesar suara pintar yang dikuasakan pembantu maya YoYo dan dua jam tangan pintar berbeza yang mempunyai fokus yang tersendiri.

Pembesar suara tadi ialah Honor YoYo Smart Speaker. Ia dijana dengan cip pemproses MT8516 empat-teras pada kelajuan 1.2GHz. Kemudian, ia mempunyai 6 gegelung mikrofon, jarak frekuensi penuh, driver 2-inci 3W menyeluruh, pembesar suara jenis mono dan memori 256MB RAM + 128MB storan dalaman. Terdapat butang senyap, butang menjawab panggilan dan sepasang butang aras suara terbina.

Honor YoYo Smart Speaker akan berfungsi seakan Google Home Mini, di mana YoYo boleh membantu pengguna untuk membuat tugasan asas harian seperti menjawab soalan, memainkan muzik, memberi peringatan atau menetapkan penggera, mengawal aksesori rumah pintar dan banyak lagi. Sekali imbas ia dilihat dibina dari plastik dengan warna dua tona berserta dengan asas daripada getah untuk cengkaman. Ia dijual pada harga RMB199 iaitu sekitar RM120 sahaja.

Dua jam tangan pintar tadi pula adalah Honor Watch Magic dan Honor Magic Blue. Honor Watch Magic boleh dikatakan adalah jam tangan pintar utama mereka. Ia mempunyai rekaan yang lebih premium, sesuai untuk perusahaan, tampak lebih kemas dan menarik. Ia mempunyai skrin 1.2-inci AMOLED panel bulat, resolusi 390×390 dengan 326 ppi, bateri sebesar 178mAh, pengecasan magnetik dan menyokong Android dan iOS.

Jam tangan ini dijana dengan cip pemproses ARM M4 dan bateri kecilnya tahan sehingga 7 hari. Honor Magic Watch ini dibina dari campuran besi, plastik dan seramik. Jam ini turut mempunyai GPS untuk tujuan sukan, NFC untuk tujuan pembayaran nirtunai, pelbagai sensor serta sokongan perlindungan air 50ATM. Ia dijual pada harga RMB899 (~RM544) untuk Lava Black, RMB999 (~RM604) untuk Moonlight Silver dan edisi khas Honor Watch Magic GT dengan tanda harga yang lebih mahal tetapi belum lagi diumumkan.

Untuk Honor Magic Blue pula, adalah jam tangan pintar mesra kanak-kanak. Hadir dengan GPS, fungsi untuk panggilan telefon, SMS, jejak lokasi dengan tepat dan SOS untuk kecemasan. Ia mempunyai perlindungan air IP67, dibina dari bahan bebas toksik dan tahan hentakan. Seperti Honor Watch Magic, ia turut mempunyai YoYo terbina.

Honor Magic Blue ini mempunyai skrin 1.3-inci TFT, resolusi 240×240, bateri 600mAh, pengecasan melalui microUSB, bahan binaan silikon,menyokong Android dan iOS, ketahanan bateri sehingga 7 hari, sokongan kad sim 2G dan tiada NFC. Untuk butang, ia mempunyai butang kuasa, butang hidup semula, butang untuk nyalaan skrin, butang senyap dan juga butang khas untuk SOS.

Tiada lagi harga untuk Honor Magic Blue, tetapi pesanan sudah boleh dibuat secara atas talian bagi mereka yang berminat.


Komen ()