Cari @ Amanz

ASUS mula memperkenalkan ASUS ROG Zephyrus pada tahun 2017 di acara COMPUTEX di Taipei. Laptop gaming ini bukan sahaja hadir dengan rekaan nipis yang tidak dilihat di mana-mana laptop sebelum itu, tetapi juga dilengkapi komponen berkuasa dan terhebat di waktu itu, termasuklah kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q yang baru sahaja diperkenalkan pada waktu itu.

Semenjak itu, pihak ASUS telah memperkenalkan sebuah lagi laptop ASUS Zephyrus M yang hadir dengan rekaan papan kekunci yang ditolak semula keatas, tetapi hadir dengan beberapa isu seperti tahap panas di bawah bahagian yang terlalu tinggi, dan juga masalah thermal throttling.

ASUS seterusnya kembali ke meja lukisan, dan kemudiannya memperkenalkan model laptop ASUS Zephyrus mereka di acara IFA yang berlangsung di Berlin, iaitu ASUS Zephyrus S GX531G.

Rekaan Dan Binaan

ASUS ROG Zephyrus S GX531G
Skrin 15.6 inci Full HD
Pemproses Intel Core i7-8750H
RAM 16 Gigabyte DDR4
Muatan Dalaman SSD PCIe 500GB
Kamera 5MP
USB USB 3.0 Type=A x3, USB 3.1 Type-C x2
HDMI Ada
Pembaca Kad Tiada
Kad Grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6GB
Harga Jualan RM7999

Sama seperti laptop-laptop ASUS ROG Zephyrus sebelum ini, model Zephyrus S ini dibina menggunakan rangka aluminum yang bukan sahaja teguh, tetapi juga ringan. Pada berat 2.1kg sahaja, ASUS juga telah mengurangkan lagi ketebalan laptop ini kepada 15.75mm.

Gabungan rekaan yang ringan dan saiz nipis membolehkan pengguna membawa laptop ini kemana-mana sahaja tanpa perlu risau mengenai sakit belakang.

Rekaan laptop Zephyrus S kali ini lebih menyerupai laptop ASUS Zephyrus generasi pertama, dan sebab utamanya ialah kerana rekaan model kedua yang menolak papan kekunci terus di atas kawasan CPU dan kad grafik menyebabkan kawasan papan kekunci tersebut rasa sangat panas.

Dengan kembalinya ASUS Zephyrus S ini ke rekaan asal, ASUS juga boleh memperbaiki sistem penyejukan Active Aerodynamic System yang digunakan sejak laptop ASUS Zephyrus yang pertama.

Ia adalah sistem penyejukan sama pada model-model laptop ASUS Zephyrus sebelum ini, yang hadir dengan ruang pengudaraan di bahagian laptop untuk memudahkan pengeluaran udara panas daripada laptop nipis tersebut.  Perubahan kepada sistem penyejukan ini akan kami ulaskan lebih lanjut kemudian.

Paparan laptop Zephyrus S ini juga cukup menakjubkan. Terima kasih kepada bingkai nipis yang digunakan pada model ini, ASUS mampu memuatkan sebuah paparan bersaiz 15.6 inci ke dalam sebuah rangka bersaiz 14.2 inci.

Logo ROG di bahagian belakang paparan skrin laptop ini juga diberi nafas baru dengan kehadiran pencahayaan LED berwarna merah menyala yang sangat agresif.

Bahagian papan kekunci laptop ASUS ROG Zephyrus S ini secara kebanyakannya tidak banyak berubah, selain kedudukan papan kekunci ini yang ditolak lebih kebawah seperti rekaan asal, dan juga kehadiran trackpad di bahagian tepi papan kekunci yang boleh ditukar menjadi sebuah numpad digital, sama seperti laptop ROG Zephyrus generasi pertama.

Spesifikasi

Siri laptop ASUS Zephyrus sentiasa hadir dengan spesifikasi dalaman yang cukup berkuasa, dan laptop ASUS ROG Zephyrus S ini tidak berbeza. Model terbaru ini dilengkapi dengan CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan SSD PCIe NVMe sebesar 500GB.

Di dalam artikel pandang pertama kami mengenai laptop Zephyrus S ini, kami ada menyatakan bahawa laptop ini hadir dengan dua pilihan kad grafik, iaitu NVIDIA GeForce GTX 1060 6G, ataupun NVIDIA GeForce GTX 1070 Max-Q.

Untuk pasaran tempatan, NVIDIA berkata mereka hanya akan membawa masuk model yang hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 6G sahaja. Menurut mereka, ini adalah kerana perbezaan prestasi diantara kedua-dua kad grafik ini tidaklah begitu ketara, malah, kad grafik desktop tersebut boleh dikatakan mendahului sedikit berbanding dengan kad grafik yang dibina khusus untuk peranti-peranti komputer riba gaming.

Paparan 15.6 inci yang hadir pada Zephyrus S ini juga bukan calang-calang paparan. Selain daripada hadir dengan bingkai nipis di tiga bahagian sisi, ia berkebolehan untuk menggerakkan paparan selaju 144Hz, dan walaupun paparan ini sendiri tidak menyokong teknologi grafik NVIDIA GSYNC, palam HDMI di belakangnya boleh digunakan untuk menyambung laptop ini kepada paparan yang menyokongnya.

Walaupun laptop ini adalah sebuah peranti yang sangat nipis, ASUS sedar akan kepentingan palam-palam I/O yang diperlukan untuk menyambung pelbagai aksesori-aksesori mereka ke laptop ini.

Laptop Zephyrus S ini mempunyai tiga palam USB 3.0 Type-A, dua buah palam USB 3.1 Type-C dan sebuah palam HDMI. ASUS menggunakan tiga daripada sisi-sisi laptop ini untuk memastikan bahawa tiada masalah selirat kabel berlaku apabila kesemua palam-palam pada laptop ini digunakan.

Ini adalah bagus kerana isu kesesakan kabel di atas meja apabila menggunakan laptop sering berlaku, terutamanya apabila pelbagai aksesori perlu disambungkan ke laptop ini, seperti papan kekunci, tetikus, fon kepala dan juga paparan skrin.

Ciri-Ciri

Siri laptop ASUS Zephyrus mungkin terkenal kerana rekaan serba nipis dan prestasi yang berkuasa, tetapi di dalam laptop ini juga turut hadir dengan beberapa teknologi yang membuatkan pengalaman menggunakan laptop ini sesuatu yang menyeronokkan.

Ciri-ciri yang akan kami ketengahkan untuk ulasan ini termasuklah sistem penyejukan Active Aerodynamics System yang sudahpun diperkenalkan sebelum ini, perisian ROG Armoury Crate yang merupakan pusat dimana kebanyakan tetapan yang hadir pada laptop ini boleh diubahsuai mengikut keperluan pengguna, dan juga beberapa perkara lain yang bagi kami cukup menarik mengenai Zephyrus S.

Seperti yang kami katakan sebelum tadi, Active Aerodynamics System (AAS) ialah sistem penyejukan yang dibina khusus oleh ASUS untuk siri laptop ROG Zephyrus, dan semenjak model pertama hinggalah sekarang,

Pada model ketiga ini, ASUS telah hadir dengan beberapa penambahbaikan kepada sistem AAS yang meningkatkan lagi kualiti sistem penyejukan tersebut. Ini termasuklah penggunaan 5 buah paip haba yang mengalirkan haba daripada komponen-komponen CPU dan kad grafik,

Haba pada paip-paip ini kemudiannya bawa oleh dua kipas penyejuk yang dilengkapi dengan 83 bilah ke bahagian luar tepi melalui bukaan 5mm di kedua-dua tepi laptop ini secara deras untuk memastikan semua komponen-komponen laptop ini sentiasa kekal sejuk, membolehkan pengguna bermain permainan komputer untuk satu jangka masa panjang tanpa masalah.

Bukan itu sahaja, kipas-kipas ini juga boleh membersihkan habuk daripada sirip-sirip penyejuk untuk mengekalkan kebolehan sistem penyejukan AAS ini untuk kekal berfungsi dengan baik.

 

Jika anda pernah menggunakan laptop gaming ASUS sebelum ini, anda pasti biasa dengan perisian ASUS ROG Gaming Centre. Perisian ROG Armoury Crate pula ialah perisian terbaru daripada ASUS yang merumahkan semua tetapan-tetapan khusus seperti kelajuan kipas, grafik dan CPU yang hadir dengan antaramuka pengguna baru yang lebih bersih dan mudah diakses.

Di dalam perisian ini terdapat beberapa  profil yang telahpun ditetapkan secara asas oleh ASUS, termasuklah profl Silent, Balanced, Turbo dan Manual.

Profil Silent merupkan profil dimana kipas laptop ini akan berpusing dengan perlahan sekali, dan sesuai digunakan jika anda hanya menggunakan laptop ini untuk melayari laman web dan menonton video. Profil Balanced pula sesuai jika anda hanya menggunakan laptop ini untuk bermain permainan komputer yang tidak memerlukan prestasi yang terlalu tinggi, manakala profil Turbo pula ialah untuk permainan-permainan yang akan menggunakan kuasa penuh laptop Zephyrus S ini.

Profil Manual membolehkan anda mengubahsuai beberapa spesifikasi khas seperti kelajuan kipas dan melewah-jam komponen CPU dan kad grafik secara sedikit untuk mendapatkan prestasi yang terbaik.

Selain itu, perisian Armoury Crate ini juga merumahkan kawalan untuk sistem nyalaan RGB Aura Sync yang bukan sahaja membolehkan pengguna mengubah warna dan corak RGB papan kekunci Zephyrus S ini, tetapi juga menyelarikan aksesori-aksesori ROG lain yang turut menyokong sistem nyalaan ini.

ASUS turut memperkenalkan sebuah lagi ciri menarik, dimana salah sebuah palam USB 3.1 Type-C boleh digunakan untuk mengecas laptop ini, jika anda tidak ingin menggunakan adapter kuasa yang dibekalkan.

Menurut ASUS, anda boleh menggunakan sebuah power bank yang hadir dengan sokongan Power Delivery untuk mengecas laptop Zephyrus S ini melalui palam USB 3.1 Type-C tersebut. Ini cukup berguna sekiranya anda tidak ingin membawa pengecas laptop ini yang boleh kami katakan agak besar juga.

Pengalaman Pengguna

Bermula dengan prestasi laptop ini, pendek kata ia sangat mengagumkan. Gabungan CPU Intel Core i7-8750H, memori DDR4 16GB, storan SSD NVMe dan juga kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1060 yang berkuasa bermakna bahawa ia mampu menggerakkan hampir apa sahaja aplikasi dan permainan komputer tanpa masalah.

Pada awalnya kami berasa sedikit risau kerana ketebalan laptop Zephyrus S ini yang lebih nipis dari sebelum ini akan menyebabkan isu haba yang membuatkan komputer riba ini tidak selesa digunakan.

Boleh kami katakan bahawa sistem penyejukan Active Aerodynamic System yang menyejukkan komponen-komponen laptop ini menjalankan tugasnya dengan agak baik.

Walaupun bahagian atas laptop ini masih lagi terasa panas, pengubahan lokasi papan kekunci ke bahagian bawah, bersama-sama dengan penaiktarafan kipas penyejuk memastikan bahawa papan kekunci laptop ini tidak begitu panas, dan selesa digunakan walaupun untuk sesi gaming yang panjang.

Diantara permainan-permainan yang kami uji dengan laptop ini termasuklah Overwatch, Fortnite, Shadow of The Tomb Raider, Destiny 2 dan DOOM tanpa sebarang isu dari segi grafik yang tersekat-sekat dan sebagainya.

Dengan ketebalan lebih rendah dari 2.0cm dan berat 2.1kg sahaja, laptop ini juga mudah dibawa kemana-mana di dalam beg saya tanpa perlu risau akan sakit belakang seperti apabila saya membawa laptop gaming yang biasanya dua atau tiga kali lebih tebal daripada model Zephyrus ini.

Penggunaan power bank dengan kebolehan Power Delivery untuk mengecas Zephyrus S ini juga sesuatu yang kami rasa perlu hadir di lebih banyak lagi komputer riba lagi kerana ia mengurangkan beban beg kerana tidak lagi perlu membawa pengecas bersaiz besar.

Ujian Penanda Aras

Ini adalah diantara ujian-ujian penanda-aras yang telah kami jalankan untuk laptop ASUS ROG Zephyrus S ini untuk menguji kebolehannya.

3DMark Fire Strike Ultra

3DMark Fire Strike Extreme

3DMark Time Spy

PCMark 10

Cinebench

Geekbench

CrystalDiskMark

Kekurangan

Dari segi prestasi dan rekaan, boleh saya katakan bahawa laptop ASUS ROG Zephyrus S ini tidak mempunyai sebarang masalah. Akan tetapi, untuk sebuah laptop yang berharga RM7999, laptop ini mempunyai pelbagai kekurangan yang pada pendapat saya boleh diperbaiki oleh ASUS.

Pertama sekali ialah papan kekunci laptop ini yang sangat cetek sekali. Tidak kira jika anda sedang bemain permainan komputer ataupun menaip artikel, papan kekunci laptop ini boleh menyebabkan ketegangan jari jika digunakan untuk satu jangka waktu yang lama.

Sambungan kepada itu, model ASUS Zephyrus yang pertama hadir dengan rekaan papan kekunci yang sama, tetapi sekurang-kurangnya ia mampunyai tempat rehat tangan yang boleh dipasang pada laptop.

Pada iterasi Zephyrus S ini, ASUS tidak lagi menyertakan lagi tempat rehat tangan tersebut, dan ini mendatangkan satu lagi isu bagi mereka yang menggunakan laptop ini tanpa papan kekunci kendiri.

Satu lagi isu yang kami perasan pada laptop ini hadir melalui sistem penyejukan Active Aerodynamic System mereka. Ya, sistem penyejukan ini sangat cekap dalam komponen-komponen laptop Zephyrus S ini, tetapi kekurangan di sini hadir melalui bagaimana sistem penyejukan ini diaktifkan.

Pengguna boleh mengaktifkan sistem penyejukan ini melalui perisian Armoury Crate dan memilih mod yang dikehendaki, tetapi kami perasan akan beberapa isu dengan mod-mod ini.

Apabila kami menjalankan beberapa ujian penanda aras pada laptop ini, seperti 3DMark dan PCMark, sistem penyejukan laptop ini diaktifkan seperti yang disangka. Tetapi anehnya, apabila kami menggunakan penanda aras seperti CrystalDiskMark yang hanya menggunakan storan SSD, kipas AAS ini masih akan berpusing dengan laju sekali, dan menyebabkan bunyi yang agak bising.

Satu lagi isu pada pendapat kami ialah hadir melalui paparan laptop Zephyrus ini sejak generasi pertama. Untuk laptop yang berkuasa seperti ini, kami masih tidak memahami kenapa ASUS tidak memuatkan paparan beresolusi lebih tinggi daripada 1080p seperti 1440p.

Kad grafik GeForce GTX 1060 ataupun GTX 1070 Max-Q kedua-duanya hadir dengan kemampuan untuk memproses grafik pada resolusi tersebut, jadi kami tidak memahami kenapa ASUS tidak melakukannya.

Bukan itu sahaja, paparan Zephyrus S ini juga tidak mempunyai sokongan untuk teknologi grafik NVIDIA GSYNC yang mengurangkan isu paparan tidak selari dengan output grafik daripada kad grafik, disamping sokongan HDR dan sebagainya.

Jika anda ingin menggunakan paparan GSYNC, sekurang-kurangnya palam HDMI yang berada di belakang laptop ini boleh digunakan, walaupun anda akan perlu membeli sebuah paparan skrin yang cukup mahal sekali.

Patutkah Saya Membelinya?

Jika prestasi satu-satunya kriteria yang anda pentingkan dalam sebuah laptop gaming, terdapat pelbagai lagi laptop yang boleh memenuhi keperluan anda pada tanda harga yang lebih murah.

Malah, ASUS sendiri mempunyai sebuah laptop yang hadir dengan spesifikasi-spesifikasi yang sama seperti laptop ini, iaitu ASUS TUF FX505, yang pernah kami ulas sebelum ini.

Dari segi spesifikasi, paparan, kadar segar semula dan beberapa aspek lagi, laptop ASUS TUF FX505 ini tidak begitu berbeza berbanding dengan ASUS ROG Zephyrus S.

Jika anda seseorang yang benar-benar memerlukan sebuah laptop yang bukan sahaja berkuasa, tetapi ringan, nipis dan mudah dibawa kemana-mana sahaja, mungkin ia boleh dipertimbangkan jika anda ada wang sebanyak RM7999 untuk dibelanjakan.

Penutup

Pada harga jualan yang ditetapkan, ia adalah agak susah untuk mengesyorkan laptop ASUS ROG Zephyrus S ini. Dari segi prestasi, laptop ini boleh menggerakkan semua permainan komputer pada resolusi natif dan tetapan yang agak tinggi tanpa masalah.

Akan tetapi, jika dibandingkan dengan laptop-laptop lain yang bukan sahaja jauh lebih murah, tetapi mempunyai prestasi yang lebih kurang sama, anda pasti akan memikir dua atau tiga kali sebelum anda benar-benar meletakkan wang untuk membeli laptop ini.

Jika anda benar-benar inginkan sebuah laptop ASUS ROG Zephyrus S, kami sarankan anda tunggu dahulu sementara model-model dengan kad grafik siri NVIDIA GeForce RTX, iaitu ASUS ROG Zephyrus S GX701 yang berkemungkinan besar akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

PRO dan Kelebihan

  • Prestasi gaming yang memuaskan
  • Sistem penyejukan yang bagus
  • Paparan nirbingkai
  • Kadar segar semula 144Hz
  • Pengecasan bateri melalui USB-C
  • Sokongan Untuk paparan sekunder GSYNC

Kontra dan Kekurangan

  • Paparan beresolusi Full HD sahaja
  • Bunyi kipas yang bising
  • Tanda harga mahal
  • Spesifikasi yang boleh didapati pada komputer riba jauh lebih murah

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd