Carian
Astro Broadband Bundle Ditawarkan Di Jasin – Internet 50Mbps Bersama Family Pack Untuk RM99 Sebulan
January 8, 2019 Aman

Bersama-sama pengumuman projek rintis NCP, pelbagai penyedia hadir dengan pakej masing-masing. Astro turut tidak ketinggalan dan telah pun mengumumkan penawaran Astro Broadband Bundle untuk penduduk di Jasin – membolehkan mereka menikmati perkhidmatan internet bersama-sama pakej kandungan daripada Astro pada harga sangat kompetitif.

Melalui pakej yang ditawarkan, Astro bekerjasama dengan pihak City Broadband, dimana mereka menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan 50Mbps pada harga RM99 sebulan, dan 100Mbps pada harga RM129 sebulan.

Astro Bundle Broadband

Menariknya, bayaran ini turut termasuk Family Pack Astro yang mempunyai lebih 40 saluran seperti Astro RIA, Astro Prima, Astro Arena, Astro Awani, NatGeo WILD, dan juga FOXLife.

Apa pun, kandungan ini tidak ditawarkan dalam bentuk set kotak TV tersendiri, seperti Unifi TV yang ditawarkan Telekom Malaysia. Sebaliknya, Astro menggunakan penawaran NJOI – dimana pelanggan NJOI berdaftar akan menerima naik-taraf ke Family Pack secara percuma. Pengguna turut boleh menikmati akses kandungan ini melalui web atau aplikasi mudah-alih sekiranya tidak mempunyai NJOI di rumah.

Astro mengatakan mereka mempunyai kadar penembusan lebih 92% di Jasin yang merangkumi pelanggan Astro dan juga NJOI – yang mana kini turut boleh melanggan perkhidmatan jalur-lebar internet pada harga sangat berpatutan.

Bagi pengguna yang berminat, anda boleh membuat pendaftaran bersama pihak Astro, dan berpeluang untuk turut menikmati saluran eksklusif terpilih sehingga 31 Januari 2019. Semua pengguna yang layak dan terpilih untuk mengikuti ujian rintis ini akan tertakluk dibawah kontrak selama 24 bulan yang bermula 1 Februari 2019.

Komen