Carian
Vivo APEX 2019 Diperkenalkan – Peranti Konsep 5G Tanpa Sebarang Port Berlubang Atau Butang
January 24, 2019 Aman

Selepas Meizu memperkenalkan peranti nir-port mereka semalam, hari ini Vivo turut mengambil langkah sama dan memperkenalkan telefon pintar konsep mereka, iaitu Vivo APEX 2019 yang hadir dengan rekaan tanpa sebarang port berlubang atau menggunakan butang fizikal.

VIVO APEX 2019

VIVO APEX 2019 ini hadir dengan rekaan nirtakuk, tiada sebarang bukaan untuk port, dan antaramuka yang ringkas digunakan. Ia juga tidak menggunakan sebarang butang fizikal – sebaliknya menggunakan teknologi dinamakan Touch Sense yang mengabungkan penggunaan sentuhan kapasitif dan daya tekanan.

VIVO APEX 2019

Untuk pengecasan pula, ia menggunakan MagPort – iaitu pengecas berasaskan magnetik yang diposisikan di bahagian belakang peranti. MagPort juga turut digunakan untuk pemindahan data ke komputer.

Vivo mengatakan APEX 2019 menggunakan teknologi Body SoundCasting untuk menawarkan audio speaker melalui panel paparan.

VIVO APEX 2019

Melengkapkan peranti ini juga adalah penggunaan pengimbas cap jari menyeluruh pada skrin – membolehkan pengguna menekan jari pada mana-mana bahagian skrin untuk nyah-kunci peranti.

VIVO APEX 2019

Spesifikasi penuh untuknya tidak diumumkan. Vivo mengatakan telefon 5G ini menggunakan cip Snapdragon 855, memori 12GB RAM dan storan sehingga 256GB. Vivo menyasarkan untuk mempertontonkan telefon konsep ini kepada umum pada acara MWC 2019 kelak.

Komen