Minggu lepas, Meizu telah melancarkan telefon pintar nirport mereka – Meizu Zero. Ia adalah peranti mercu yang tidak mempunyai sebarang port sambungan, butang atau juga slot kad sim.
Peranti nirport yang dijana Snapdragon 845 ini pada awalnya kami fikirkan ia hanyalah konsep, kerana Meizu sendiri tidak kongsikan banyak maklumat mengenai peranti tersebut. Tetapi ia bukan lagi konsep, kerana Meizu Zero kini boleh ditempah di laman biayasama Indiegogo. Meizu dilihat menjual Meizu Zero pada harga $1299, iaitu sekitar RM5312.
Disebabkan telefon ini tidak mempunyai sebarang port, pengecasan dan pemindahan data perlu dilakukan secara nirwayar melalui pad pengecasan Super mCharge Wireless. Butang pula adalah secara virtual seakan HTC U12 Plus dan pembesar suara pula adalah teknologi dalam skrin melalui mSound 2.0.
Peranti ini dijual dengan kuantiti yang terhad, iaitu 100 unit. Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 14 unit telah terjual. Apakah pendapat anda? Berbaloi atau tidak untuk memiliki peranti Meizu Zero ini?