Pandang Pertama Samsung Galaxy S10 Dan S10+ – Peranti Mercu Trikamera Pertama Samsung

Pandang Pertama Samsung Galaxy S10 Dan S10+ – Peranti Mercu Trikamera Pertama Samsung

Diterbitkan pada Feb 21, 2019 oleh .

Samsung Galaxy S10, S10+ dan S10e dilancarkan secara rasmi sebentar tadi selepas beberapa kali rekaannya tertiris ke arena web. Ia adalah peranti-peranti pertama dari keluarga Galaxy S yang menggunakan rekaan skrin berlubang untuk kamera hadapan. Ini adalah evolusi seterusnya di dalam teknologi skrin Infinity Display yang diperkenalkan menerusi Galaxy S8 dan S8+ dua tahun yang lalu.

Kami diberikan akses awal menggunakan Samsung Galaxy S10 dan S10+ sebelum acara pelancarannya di San Francisco. Berikut ialah pandangan pertama kami untuk peranti mercu terkini dari pengeluar telefon pintar terbesar dunia sepanjang 2018.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S10/S10+
Skrin 6.1″/6.4″ QHD+
Dynamic AMOLED HDR10+
Pemproses Exynos 9820 (Malaysia)
Cip 2.7 X 2 GHz Custom
2.3 X 2 GHz Cortex A75
1.9 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP12
RAM 8/12 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman Sehingga 1TB
(mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama 12+12+16 Megapixel.
f/1.5+f/2.4+f/2.2, OIS, HDR
Kamera Depan 10/ 10+8 Megapixel f/1.9
Bateri 3400/4100 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Bermula dari RM 3299

Dua pilihan skrin diberikan iaitu 6.1″ untuk S10 dan 6.4″ untuk S10+. Ini adalah pilihan saiz yang lebih besar berbanding 5.8″ pada S9 dan 6.2 pada S9+ tahun lalu. Dari segi saiz, skrin S10+ kini adalah setanding dengan sebuah Galaxy Note 9. Pada tahun ini kita akhirnya melihat kesetaraan saiz skrin peranti di antara keluarga Galaxy S dan Galaxy Note.

Teknologi skrin Dynamic AMOLED menggantikan Super AMOLED yang digunakan sejak Galaxy S1. Menurut Samsung skrin Dynamic AMOLED ini menyokong paparan kandungan HDR10+ dan keterangan maksimum 1200 nits. Teknologi HDR10+ ini telah digunakan terlebih dahulu pada televisyen QLED keluaran Samsung. Pada bahagian sisi skrin melengkung bagi memudahkan pergerakan jari ke bahagian tepi peranti serta memberikan ilusi ia tidak mempunyai sebarang bezel sisi yang tebal.

Dengan penggunaan skrin Infinity-O ini, bahagian dahi S10 dan S10+ adalah lebih nipis berbanding model tahun lalu. Dagu juga turut menjalani proses yang sama dengan beberapa milimeter berjaya dicukur bagi memberikan peratusan permukaan skrin kepada bahagian hadapan yang tinggi sekitar 93.1%. Oleh sebab itu S10+ masih mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Galaxy Note 9 sungguhpun mempunyai saiz skrin yang setanding.

Seperkara lagi pada skrin kini terdapat pengimbas cap jari terbina. Pengimbas ini adalah dari jenis ultrasonik yang dikatakan lebih selamat kerana mengimbas alur pada hujung jari secara tiga dimensi. Ini juga membolehkan ia mengimbas cap jari walaupun ia basah ataupun kotor. Kami difahamkan oleh Samsung hanya sesetengah pelindung skrin boleh digunakan kerana penggunaan teknologi ultrasonik ini.

Pemproses terkini Exynos 9820 akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia tetapi terdapat juga penawaran dengan cip Snapdragon 855. Pemproses Exynos 9820 ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 8nm. Buat pertama kali juga konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras custom dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A75 dengan kelajuan 2.3GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 1.9 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP12.

Ini dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan sehingga 1TB. Buat pertama kali peranti Galaxy S ditawarkan dengan memori sekurang-kurangnya 8GB. Nampaknya era RAM sebesar 6GB telah berakhir. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 512GB. Ini menjadikannya peranti pertama dengan kombinasi storan 1.5TB.

Pilihan memori 12GB RAM dan storan sebesar 1TB ini hanya ditawarkan pada dua versi S10+ yang hadir dengan kemasan seramik berwarna Ceramic White serta Ceramic Black.

Bercakap mengenai kamera pula, tri-kamera utama kini menggabungkan sensor 12+12+16 Megapixel. Sensor 12-Megapixel dipadankan dengan lensa f/1.5-f/2.4. Sensor 12-Megapixel f/2.4 sekunder dengan kemampuan zoom optikal 2X dan akhir sekali sensor 16-Megapixel f/2.2 untuk lensa sudut ultra lebar 123 darjah. Terdapat sokongan penstabilan imej optikal pada dua sensor sebesar 12-Megapixel.

Kamera hadapan pada S10 adalah sebesar 10-Megapixel f/1.9 dengan sokongan auto-fokus. Pada S10+ ia adalah gabungan 10+8 Megapixel f/1.9 dengan auto-fokus. Sensor sekunder digunakan untuk mengesan kedalaman ketika swafoto diambil.

Sebuah bateri sebesar 3400 mAh disertakan pada S10 dan 4100 mah pada S10+. Ini sekali lagi adalah saiz bateri yang lebih besar berbanding tahun lalu dan ini diharap dapat menyelesaikan masalah hayat penggunaan peranti yang kurang memuaskan. Sedikit mengecewakan S10 masih menggunakan format pengecasan Adaptive Fast Charging dengan output maksimum 18W sahaja. Ini ialah format pengecasan yang sudah digunakan sejak S7. Ini mungkin keputusan yang kurang bijak memandangkan pesaing mereka sudah menyokong format pengecasan yang jauh lebih pantas.

Penambahbaikan hanya dilakukan pada pengecasan secara nirwayar Wireless Charging 2.0 yang lebih pantas. Peranti ini juga mempunyai sokongan sistem pengecasan nirwayar peranti lain PowerShare. Ia boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar lain atau fon telinga nirwayar Galaxy Buds yang turut dilancarkan hari ini.

Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Walaupun kedua-dua peranti mempunyai saiz skrin yang lebih besar, saiz peranti tidak berubah dengan drastik berbanding S9. Ini adalah seperti yang kami katakan di atas kerana rekaan dahi dan dagu yang jauh lebih nipis. Apabila diletakkan bersebelahan sebuah Galaxy Note 9, Galaxy S10+ masih lagi lebih pendek.

Lubang kamera pada S10 tidak mengganggu penggunaan peranti kerana saiznya yang kecil. Pada S10+ harus kami akui ia adalah sedikit mengganggu kerana saiznya yang agak besar. Sebelum ini kami menggunakan iPhone XS Max dan Mate 20 Pro. Harus kami akui selepas menggunakan dua peranti ini selama beberapa hari kami tidak lagi menyedari kewujudan takuk yang agak besar. Kami yakin kewujudan lubang kamera yang agak besar ini juga mungkin akan tidak disedari pengguna selepas beberapa ketika. Namun begitu inilah kompromi yang perlu dilakukan bagi mendapatkan peranti yang hampir tiada bezel dan peratusan permukaan skrin hadapan yang besar tanpa penggunaan takuk.

Dengan dwi-sisi yang melengkung, peranti amat selesa dipegang. Bagi mereka yang pernah menggunakan S6 Edge, S7 Edge, S8 dan S9, rekaan S10 tidak akan mendatangkan kecanggungan di dalam tangan.

Panel belakang didominasi oleh kamera yang disusun dalam bentuk segi empat tepat. Tiga kamera, flash dan pengimbas nadi disusun mendatar dengan bonjolan yang kecil. Tiada lagi pengimbas cap jari fizikal menyelesaikan masalah lensa yang kotor kerana jari tersentuh lensa secara tidak sengaja. Bahagian belakang ini diperbuat daripada kaca dengan pilihan warna cerun. Seperti biasa ini membuatkan peranti menjadi sedikit licin dan mengumpul kotoran dengan mudah.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang diperbuat daripada logam dengan butang suara dan Bixby pada sisi kiri. Binaannya kukuh, tidak terasa terlalu lembut atau terlalu keras. Keseluruhan bingkai kini tidak lagi mempunyai warna yang sama seperti panel belakang. Ini kini mempunyai kemasan logam berkilat seperti yang ditemui pada sebuah iPhone XS. Secara peribadi kami lebih menyukai sekiranya bingkai mempunyai warna yang sama dengan panel belakang kerana ia membuatkan peranti kelihatan lebih teguh.

Sebuah pembesar suara terletak pada bahagian bawah. Apabila dipadankan dengan gagang telinga yang kecil pada bahagian atas skrin, peranti menyokong audio stereo dengan Dolby Atmos. Penggunaan sistem pembesar suara dalam skrin yang diuar-uarkan nampaknya tidak berlaku.

Sebuah bicu audio 3.5mm turut disertakan bagi mereka yang masih belum bersedia berhijrah ke dunia aksesori bluetooth atau USB-C. Akhir sekali talam SIM terletak pada bahagian atas. Ia menyokong dwi-SIM nano dengan talam kedua turut boleh menyokong sebuah kad mikro SD sekiranya perlu.

Secara keseluruhan ini adalah rekaan S9 yang menerima penambahbaikan kecil dari input yang diberikan oleh pengguna. Satu perkara yang sedikit aneh ialah peranti kini lebih ringan berbanding S9. Ini membuatkannya terasa sedikit canggung kerana kami sudah terbiasa dengan berat S9 sebelum ini.

Antaramuka

Galaxy S10 dan S10+ menggunakan sistem operasi Android 9 Pie dengan  pelancar Samsung One UI 1.1. Ini adalah antaramuka yang lebih terkini berbanding yang baru digunakan pada S9 dan Note 9. Perbezaan terletak pada set ikon baharu yang lebih ceria dan comel berbanding yang ditemui pada One UI 1.0.

Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Elemen antaramuka diletakkan pada bahagian bawah skrin. Rekaannya juga lebih minimalis berbanding Samsung Experience. Apa yang kami sedari sejak kebelakangan ini antaramuka pelancar Samsung semakin mengikut langkah Android Asli yang mudah difahami dan sedap mata memandang.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android Pie asli  juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Pengguna boleh mengubah aplikasi dengan menggerakkan jari di atas butang home dan kemudian menatal ke kanan.

Terdapat satu lagi pilihan navigasi menerusi tatalan dari bawah skrin. Namun begitu kami merasakan sistem navigasi ini tidak intuitif untuk digunakan. Selari dengan One UI baharu, proses melakukan multi window juga diubah. Tiada lagi butang khas untuk melancarkannya tetapi pengguna menekan  butang multi-tugas, tekan ikon aplikasi untuk membuka menu multi-window sebelum memilih aplikasi yang ingin digunakan. Proses pengaktifkan multi-window pada Samsung Experience pada hebat kami adalah jauh lebih baik.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S10 dan S10+.

Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Kesimpulan

Ini ialah percaturan Samsung tahun ini untuk mengembalikan kegemilangan mereka dalam penghasilan peranti mercu. Tahun lalu jualan S9 dilaporkan lebih rendah berbanding S8 kerana pengguna tidak melihat perbezaan spesifikasi yang ketara. Tahun ini akhirnya sistem tri-kamera digunakan dengan satu lensa sudut lebar yang kami secara peribadi merasakan adalah fungsi “membunuh” Mate 20 Pro tahun lalu. Selain itu skrin yang lebih besar dengan sokongan HDR10+ dan kapasiti bateri lebih tinggi turut disertakan sekaligus menyelesaikan masalah hayat bateri yang kurang baik tahun lalu.

Dari segi rekaan ia kini mempunyai dagu dan dahi yang jauh lebih nipis. Untuk merealisasikan rekaan ini, lubang kamera digunakan pada skrin bagi mengelakkan penggunaan takuk. Tambahan lagi sebuah sistem pengimbas cap jari ultrasonik juga diperkenalkan.

Di dalam tangan peranti selesa digunakan cuma penggunaan panel kaca membuatkan ia memerangkap kotoran dengan mudah. Satu kekurangan paling ketara ialah sistem pengecasan “pantas” yang tidak lagi sebaik yang ditawarkan oleh pesaing mereka. Dengan output 18W, sistem Adaptive Fast Charging ini sudah masuk tahun ketiga dan mula menunjukkan usianya.

Samsung Galaxy S10 dan S10+ ialah peranti dengan sistem kamera yang dikemaskini dengan rekaan peranti yang kemas. Kami kini menanti untuk menggunakannya dalam masa terdekat sebelum melihat sama ada ia berbaloi dibeli jika dibandingkan dengan S9 dan juga juara peranti terbaik tahun lalu iaitu Huawei Mate 20 Pro.

Di Malaysia Samsung Galaxy S10 dijual pada harga RM 3299 untuk model 8GB/128GB. Samsung Galaxy S10+ pula dijual pada harga RM 3699 untuk model 8GB/128GB dan RM 4599 untuk model 8GB/512GB.


TIPS & ULASAN