Samsung Galaxy S10e dilancarkan sebentar tadi adalah peranti dengan spesifikasi terendah jika dibandingkan dengan S10 dan S10+. Ia hanya dilengkapi sistem dwi-kamera, tiada pengimbas cap jari terbina dalam skrin serta skrin yang lebih kecil.
Di atas kertas ia dilihat sebagai jawapan Samsung kepada iPhone XR yang agak popular. Adakah tindakan Samsung untuk mengikuti strategi Apple ini sebuah langkah yang bijak? Berikut adalah pandang pertama kami untuk Samsung Galaxy S10e.
Spesifikasi
Samsung Galaxy S10e | |
---|---|
Skrin | 5.8″ FHD+ Dynamic AMOLED HDR10+ |
Pemproses | Exynos 9820 (Malaysia) |
Cip | 2.7 X 2 GHz Custom 2.3 X 2 GHz Cortex A75 1.9 X 4 GHz Cortex A55 |
Cip Grafik | Mali-G76 MP12 |
RAM | 6/8 Gigabyte LPDDR4X |
Muatan Dalaman | Sehingga 256GB (mikro SD sehingga 512GB) |
Kamera Utama | 12+16 Megapixel. f/1.5+f/2.4+f/2.2, OIS, HDR |
Kamera Depan | 10 Megapixel f/1.9 |
Bateri | 3100 mAh (Pengecasan pantas + Tanpa wayar) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano (Talam Hibrid) |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari pada sisi peranti |
Harga Jualan | RM 2699 |
Skrin yang disertakan hanya sebesar 5.8″ dengan lubang kamera Infinity-O terletak pada bucu atas sebelah kanan. Ini adalah setanding dengan saiz skrin Galaxy S8 tahun lalu. Teknologi skrin Dynamic AMOLED digunakan tetapi hanya menyokong resolusi maksimum FHD+. Kali terakhir skrin FHD digunakan ialah pada Galaxy S5 setengah dekad yang lalu. Skrin beresolusi tinggi bukan tumpuan Samsung pada peranti ini.
Ia walau bagaimanapun masih menyokong paparan HDR10+ dan keterangan maksimum 1200 nits. Dengan keterangan yang tinggi ini, paparan kandungan HDR akan kelihatan lebih menyerlah. Berbeza dengan S10 dan S10+, S10e mempunyai skrin dengan permukaan yang rata. Sekaligus mengambilkan rekaan klasik yang kali terakhir ditemui pada Galaxy S7. Oleh sebab itu sisi skrin S10e kelihatan lebih tebal. Pada waktu yang sama bahagian dagu peranti sedikit lebih tebal. Persamaan dengan iPhone XR ini adalah agak ketara
Sungguhpun berdagu dan bezel sisi yang kelihatan lebih tebal, peratusan permukaan skrin kepada bahagian hadapan adalah 91.6%. Sedikit lebih rendah berbanding 93.1% pada S10 dan S10+. Saiz skrin S10e setanding dengan S9 namun begitu peranti adalah 5mm lebih pendek, 1.2mm lebih lebar dan 0.6mm lebih nipis. Hasilnya ialah peranti yang terasa lebih padat dan cilik di dalam tangan.
Seperkara lagi perbezaan yang ada pada S10e ialah tiadanya pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Sebaliknya sebuah pengimbas cap jari yang besar terletak pada sisi kanan.
Pemproses terkini Exynos 9820 akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia tetapi terdapat juga penawaran dengan cip Snapdragon 855. Pemproses Exynos 9820 ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 8nm. Buat pertama kali juga konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras custom dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A75 dengan kelajuan 2.3GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 1.9 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP12.
Ini dipadankan dengan memori sehingga 6/8 GB RAM dan storan sehingga 256GB. Kita kini hidup di zaman di mana memori sebesar 4GB tidak lagi boleh diterima pada sebuah peranti mercu dan penggunaan RAM yang besar ini amat kami alu-alukan. N Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 512GB.
Hanya sistem dwi kamera dengan sensor 12+16 Megapixel digunakan pada peranti ini. Sensor 12-Megapixel hadir dengan bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4 manakala sensor kedua 16-Megapixel f/2.2 dilengkapi lensa ultra sudut lebar. Ini bermakna tiada sokongan zoom optikal pada S10e. Kamera hadapan pula sebesar 10-Megapixel f/1.9 dengan sokongan auto-fokus dan juga swafoto pada resolusi 4K.
Sebuah bateri sebesar 3100 mAh dan ini adalah penambahbaikan berbanding 3000 mAh pada S9. Kami sebenarnya berharap bateri yang lebih besar digunakan namun begitu faktor kekangan saiz berlaku di sini. Penggunaan sistem pengecasan Adaptive Fast Charging yang hanya mengecas pada kadar 18W juga mengecewakan. Seperti yang kami sentuh pada artikel pandang pertama S10 dan S10+, format pengecasan ini sudah berusia tiga tahun.
Ini merupakan kekurangan yang ketara kerana Huawei kini menyertakan pengecas 22.5W pada peranti kelas pertengahan mereka. Pada peranti mercu pula pengecas 40W diberikan. Mengapa format yang lebih pantas tidak digunakan masih lagi misteri. Kami mempunyai teori ia adalah kerana Android menyarankan pengeluar menyokong format pengecasan USB-PD yang dihadkan ke 18W sahaja sebagai standard.
Terdapat sokongan pengecasan secara nirwayar Wireless Charging 2.0 yang lebih pantas. Peranti ini juga mempunyai sokongan sistem pengecasan nirwayar peranti lain PowerShare. Ia boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar lain atau fon telinga nirwayar Galaxy Buds. Tidak seperti Huawei yang hanya memberikan fungsi serupa pada Mate 20 Pro sahaja, sistem PowerShare diberikan kepada ketiga-tiga model S10 yang dilancarkan. Peranti ini turut masih mempunyai kemampuan kalis debu dan air yang melepasi piawaian IP68. Ini membolehkannya direndam pada kedalaman 1.5 meter selama 30 minit.
Rekabentuk
Kami merasakan S10e ialah peranti dengan rekaan paling menarik di antara tiga peranti yang dilancarkan. Ini adalah kerana saiznya yang lebih padat membuatkannya paling selesa digunakan dengan sebelah tangan.
Lubang kamera pada S10e kelihatan lebih besar kerana saiz skrinnya yang lebih kecil. Namun begitu dengan kedudukannya pada bucu atas sebelah kanan, kami tidak merasakan ia mengganggu pengguna peranti. Ini ialah jawapan kepada pengguna yang tidak mahu peranti mempunyai skrin takuk tetapi masih mendambakan skrin dengan bezel yang nipis. Hanya waktu akan memberikan jawapan sama ada rekaan ini lebih baik berbanding takuk berbentuk U dan V yang telah digunakan sekarang. Walaupun dilengkapi skrin yang rata, peranti masih selesa digunakan.
Pada bahagian belakang terdapat sistem dwi-kamera yang disusun mendatar. Bonjolnya adalah kecil dan tidak mengganggu apabila peranti diletakkan pada permukaan meja. Tiada pengimbas nadi disertakan pada S10e. Ini memberikan rekaan kamera yang kemas jika dibandingkan dengan S10 dan S10+.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang besar diperbuat daripada logam. Ini adalah kerana ia mempunyai sebuah pengimbas cap jari terbina. Ramai yang merasakan kedudukan butang ini adalah terlalu tinggi apabila rekaannya tertiris. Selepas menggunakannya selama beberapa minit, kami merasakan ini ialah posisi yang agak selesa kerana ibu jari boleh mengaksesnya dengan pantas.
Ia sebenarnya posisi yang lebih baik jika dibandingkan dengan pengimbas cap jari pada sisi kamera seperti yang ditemui pada S9. Pada sisi kiri pula terdapat butang suara dan Bixby. Kesemua butang diperbuat daripada logam dengan binaan yang kukuh. Ia tidak bergoyang apabila ditekan.
Port pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah peranti dihimpit dengan bicu audio pada sebelah kiri dan pembesar suara pada bahagian kanan. Talam dwi-SIM nano pula ditemui pada bahagian atas. Talam hibrid sekali lagi digunakan bagi turut menyokong kad mikro SD untuk penambahan storan dalaman.
Bingkai kini mempunyai kemasan logam berkilat tanpa warna yang selama ini dipadankan dengan panel belakang. Rekaan ini mengingatkan kami kepada rekaan peranti Galaxy S terdahulu yang turut membiarkan bingkai tidak dicat.
Dengan bingkai berbucu bulat dan tubuh yang bersaiz kecil, sekali lagi kami merasakan S10e ialah peranti yang paling menari rekaannya di antara tiga yang dilancarkan. Tambahan lagi Samsung menawarkan warna eksklusif Canary Yellow yang membuatkannya kelihatan amat comel.
Kami dapat merasakan percaturan Samsung dengan S10e berkemungkinan besar akan membuahkan hasil sama seperti iPhone XR kepada pihak Apple. Kedua-dua peranti memberikan pemproses kelas mercu dengan spesifikasi yang baik dan tidak menyertakan fungsi tambahan yang tidak diperlukan majoriti pengguna.
Antaramuka
Galaxy S10 dan S10+ menggunakan sistem operasi Android 9 Pie dengan pelancar Samsung One UI 1.1. Ini adalah antaramuka yang lebih terkini berbanding yang baru digunakan pada S9 dan Note 9. Perbezaan terletak pada set ikon baharu yang lebih ceria dan comel berbanding yang ditemui pada One UI 1.0.
Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Elemen antaramuka diletakkan pada bahagian bawah skrin. Rekaannya juga lebih minimalis berbanding Samsung Experience. Apa yang kami sedari sejak kebelakangan ini antaramuka pelancar Samsung semakin mengikut langkah Android Asli yang mudah difahami dan sedap mata memandang.
Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android Pie asli juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Pengguna boleh mengubah aplikasi dengan menggerakkan jari di atas butang home dan kemudian menatal ke kanan.
Terdapat satu lagi pilihan navigasi menerusi tatalan dari bawah skrin. Namun begitu kami merasakan sistem navigasi ini tidak intuitif untuk digunakan. Selari dengan One UI baharu, proses melakukan multi window juga diubah. Tiada lagi butang khas untuk melancarkannya tetapi pengguna menekan butang multi-tugas, tekan ikon aplikasi untuk membuka menu multi-window sebelum memilih aplikasi yang ingin digunakan. Proses pengaktifkan multi-window pada Samsung Experience pada hebat kami adalah jauh lebih baik.
Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S10e.
Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.
Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.
Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.
Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.
Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.
Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.
Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.
Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.
One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.
Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar. Ini membolehkannya berfungsi seakan sebuah powerbank.
Kesimpulan
Samsung Galaxy S10e ialah peranti yang dihasilkan untuk berhadapan dengan iPhone XR di dalam segmen peranti mercu premium mampu milik. Ia dilengkapi pemproses, pilihan RAM dan kemampuan kamera yang hampir setanding dengan dua model S10 dan S10+. Walaupun terdapat kekurangan dari segi spesifikasi, kami merasakan kombinasi rekaan yang padat dan menarik akan membuatkannya menjadi pilihan pengguna. Tidak banyak peranti Android dengan rekaan padat dan berkuasa di pasaran sekarang. Samsung Galaxy S10e akan memenuhi vakum keperluan pengguna yang sudah lama tidak diambil perhatian pengeluar di dalam perlumbaan menghasilkan peranti dengan skrin yang semakin besar.
Samsung Malaysia telah mengesahkan Galaxy S10e dijual pada harga RM 2699 untuk model dengan 6GB/128GB. Dengan penawaran harga yang kompetitif ini ia mungkin boleh menjadi model S10 yang paling mendapat sambutan pengguna kelak. Peranti ini akan ditawarkan di beberapa pasaran dunia bermula Mac dalam warna Prism White, Prism Black, Prism Green, Prism Blue dan Canary Yellow. Nantikan ulasannya di Amanz dalam masa terdekat.