Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy Watch Active – Jam Tangan Pintar Kemas Untuk Individu Aktif
February 23, 2019 Effi Saharudin

Dua peranti boleh-pakai telah dilancarkan di acara Unpacked 2019 yang baru sahaja berakhir. Salah satunya ialah jam tangan pintar Samsung Galaxy Watch Active yang merupakan kesinambungan kepada Gear Sport yang dilancarkan dua tahun yang lalu.

Perubahan yang amat drastik dilakukan pada rekaan jam tangan ini. Sistem bezel berputar bagi melakukan navigasi tidak lagi disertakan. Ia juga mempunyai rekaan yang lebih minimalis dan lembut berbanding rekaan jam tangan terdahulu. Adakah perubahan rekaan yang drastik ini membuatkannya berbaloi untuk dimiliki? Ini ialah pandang pertama kami di Amanz.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Watch Active
Skrin 1.1″ SAMOLED 360×360 Pixel
Pemproses 1.15 GHz Dua Teras Exynos 9110
RAM 768 Megabyte (Bluetooth)
Muatan Dalaman 4 Gigabyte
Bateri 230 mAh (Pengecasan Tanpa Wayar)
SIM/Telefoni Tiada/ Tambatan Bluetooth
Sensor Pengimbas Nadi, A-GPS, Barometer,
Girometer,Accelerometer
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Tahap Ketahanan IP68/ 5 ATM/ MIL STD-810G

Hanya satu saiz ditawarkan untuk Galaxy Watch Active iaitu dengan skrin 1.1″ SAMOLED dengan resolusi 360×360 pixel. Ini adalah saiz skrin terkecil yang pernah digunakan sejak mereka menghasilkan jam tangan pintar dengan skrin berbentuk bulat. Bezel yang besar dapat dilihat pada sisi skrin dengan tiadanya sistem bezel berputar. Hasilnya ialah sebuah jam tangan yang kelihatan seperti sebuah Apple Watch dengan skrin berbentuk bulat. Kami merasakan rekaan yang digunakan ini lebih mirip kepada Gear S2 dari empat tahun yang lalu. Saiz bezel yang besar ini semakin ketara apabila dipadankan dengan warna putih dan ros merah jambu.

Pemproses Exynos 9110 1.15GHz dua teras dipadankan dengan memori sebesar 768 Mb dan storan sebesar 4GB. Ini bermakna tiada perubahan komponen dalaman dilakukan berbanding Galaxy Watch yang dilancarkan pada bulan Ogos 2018. Perbezaan hanyalah jam tangan pintar ini tidak hadir dengan sokongan LTE dan pilihan 1GB RAM.

Bateri adalah hanya sebesar 230 mAh. Ini adalah 40 mAh lebih kecil jika dibandingkan dengan Galaxy Watch 42mm. Pengecasan dilakukan menggunakan sistem nirwayar yang menggunakan format WPC. Ini membolehkannya dicaj menggunakan dermaga yang disertakan atau diletakkan pada bahagian belakang sebuah Galaxy S10 yang mempunyai kemampuan mengecas peranti lain secara nirwayar.

Sistem NFC untuk pembayaran Samsung Pay, A-GPS, Glonass, barometer, girometer, accelerometer dan pengimbas nadi optikal pada bahagian belakang turut disertakan. Dari segi sambungan pula ia menyokong bluetooth 4.2 serta Wi-Fi b/g/n bagi membolehkannya menjadi alat kawalan peranti berhubung menerusi Samsung SmartThings.

Samsung Galaxy Watch Active bukan sebuah peranti baharu dari segi spesifikasi. Perubahan terhad kepada kosmetik sahaja dan jelas sekali ia dihasilkan bagi mereka yang memerlukan sebuah jam tangan dengan saiz yang kecil, kelihatan lebih kemas dan tanpa sistem bezel berputar.

Rekabentuk

Dengan saiz skrin yang kecil, Galaxy Watch Active ini lebih sesuai digunakan oleh mereka yang mempunyai saiz pergelangan tangan yang kecil. Pada tangan kami ia nampak amat tidak sesuai digunakan. Sebagai pemilik Gear S3, perbezaan saiz yang berlaku adalah terlalu ketara dan terasa canggung memakainya.

Tubuh diperbuat daripada logam yang berkilat. Ini selari dengan penggunaan bingkai logam berkilat pada Galaxy S10. Hasilnya ialah jam yang kini kelihatan lebih kemas dan bergaya berbanding jam tangan pintar lain keluaran Samsung. Dari segi rekaan ia seakan kembali kepada rekaan Gear S2 yang sudah berusia empat tahun. Bagi mereka yang mungkin merindui Gear S2 dan kurang menggemari rekaan Gear S3, Gear Sport dan Galaxy Watch tahun lalu, Galaxy Watch Active mempunyai rekaan yang mungkin lebih sesuai dengan jiwa anda.

Dua butang navigasi back dan menu terletak pada sisi kanan. Ia terletak rata dengan tubuh jam yang juga diperbuat daripada logam. Kedua-duanya juga berbentuk bulat berbeza dengan segi empat tepat pada model terdahulu.

Ini disengajakan kerana Galaxy Watch Active mensasarkan golongan yang mahukan sebuah jam yang sesuai digunakan untuk aktiviti bersukan. Dengan tubuh yang licin tanpa gerigi, ia tidak akan terselit pada baju ketika berlari dan mengurangkan rintangan ketika berenang. Tali jam yang digunakan juga licin dengan lubang di belakang cangkuk untuk menyorokkan tali yang berlebihan.

Samsung menawarkan empat warna untuk tubuh iaitu perak, hitam, hijau dan ros merah jambu. Untuk pilihan tali pula lapan warna ditawarkan iaitu perak, hitam, hijau, ros merah jambu, oren, putih, biru dan kuning. Secara peribadi kami merasakan pilihan warna hitam adalah yang paling menarik kerana ia tidak sedikit sebanyak membuatkan bezel yang besar tidak kelihatan begitu ketara. Seperti biasa pengguna boleh menggunakan tali jam standard bersaiz 22mm di pasaran kurang berminat dengan apa yang ditawarkan oleh Samsung kerana penggunaan sistem cangkuk standard.

Antaramuka

Sistem operasi Tizen Wearable 4.0 digunakan dan merupakan versi yang sama ditemui pada Galaxy Watch. Malahan ia adalah sistem operasi yang juga baru diterima pengguna Gear Sport dan Gear S3 beberapa minggu yang lalu. Tiada perubahan antaramuka dilakukan jika dibandingkan dengan Tizen 3 sebelum ini. Satu butang fizikal apabila ditekan akan melancarkan roda aplikasi. Sebuah lagi butang digunakan untuk kembali ke menu asal dan sebuah lagi untuk terus ke muka hadapan. Dengan tiadanya lagi sistem bezel berputar, pengguna perlu menatal skrin untuk melakukan navigasi.

Kami merasa sedikit canggung dengan sistem navigasi terbaru ini kerana sudah terbiasa menggunakan bezel berputar sejak Gear S2 dilancarkan. Proses memilih aplikasi yang ingin digunakan talam aplikasi adalah agak sukar memandangkan kami mempunyai jari yang agak besar. Tambahan lagi ikon aplikasi adalah kecil apabila dipaparkan pada skrin yang hanya sebesar 1.1″.

Dari muka utama, notifikasi boleh dibaca dengan menatal ke kanan Tatalan ke kiri pula akan memberikan akses kepada beberapa widget seperti kawalan pemain muzik, peranti berhubung, penjejak kesihatan dan banyak lagi. Pengguna bebas meletakkan widget yang dimahukan serta menyusunnya mengikut pilihan peribadi.

Kembali ke muka utama, jika tatalan ke bawah dilakukan ia akan memberikan akses kepada pintar pintas seperti pada sebuah peranti Android. Dari sini pengguna boleh memilih mod penjimatan bateri, mengubah keterangan skrin, mengubah kekuatan deringan panggilan telefon, status tambatan bluetooth dan banyak lagi. Antaramuka sistem operasi Tizen Wearable 4.0 ini mudah difahami dan dipelajari. Paling penting kesemua elemen masih mudah dibaca walaupun pada skrin yang yang kecil.

Jam tangan pintar ini boleh digunakan pada peranti yang menggunakan Android 5.0 dan iOS 9. Dari pengalaman peribadi, Tizen Wearable 4.0 tidak mempunyai sebarang masalah digunakan pada kedua-dua platform dengan majoriti fungsi-fungsi utama disokong tanpa sebarang masalah.

Pilihan aplikasi masih lagi seperti dahulu cuma kini terdapat integrasi yang lebih mendalam dengan Spotify, Endomondo, Strava, MyFitnessPal, Swim.com dan banyak lagi. Ini sesuai dengan pengelasannya sebagai sebuah jam tangan untuk mereka yang berkehidupan aktif. Selain puluhan ribuan muka jam dan aplikasi, Galaxy Watch Active juga mengesan aktiviti sukan yang dilakukan secara automatik. Terdapat fungsi mengesan tahap tekanan menerusi bacaan kadar nadi dan menjejak tidur dengan empat tahap berbeza sepanjang masa.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Watch Active ialah sebuah Galaxy Watch dengan hanya rekaan luaran yang baru. Rekaan baharu ini juga adalah lebih kontemporari dan kemas. Ketiadaan sistem navigasi bezel berputar amat kami rasai kerana sudah terbiasa menggunakannya pada jam tangan Samsung sejak empat tahun yang lalu. Harus kami akui ketiadaannya membuatkan penggunaan terasa sedikit canggung dan kurang mesra pengguna.

Jadi sekiranya anda masih memerlukan jam tangan Tizen dengan bezel berputar, Galaxy Watch adalah pilihan yang lebih maakul berbanding Galaxy Watch Active. Tetapi jika anda memerlukan jam tangan Tizen yang lebih selesa dan ringan untuk digunakan ketika bersukan, Galaxy Watch Active dihasilkan khusus untuk aktiviti ini. Nantikan ulasan penuh jam tangan pintar ini dalam masa terdekat.

Komen