Cari @ Amanz

Samsung baru sahaja melancarkan siri peranti mercu terbaru mereka, Samsung Galaxy S10, S10+ dan S10e. Kesemua peranti ini hadir dengan spesifikasi dan ciri-ciri yang berkuasa, dan juga dengan tanda harga yang cukup premium.

Di acara Mobile World Congress, selain daripada peranti-peranti Samsung Galaxy S10 dan Samsung Galaxy Fold, syarikat teknologi dari Korea tersebut turut memperlihatkan dua buah peranti pintar kelas pertengahan melalui Samsung Galaxy A50 dan juga Samsung Galaxy A30.

Spesifikasi

Bermula dengan peranti Galaxy A50, ia dilengkapi dengan paparan Super AMOLED bersaiz 6.4 inci pada resolusi Full HD+, dan dijana oleh CPU Samsung Exynos 6190 2.3GHz dengan pilihan memori 4GB dan 6GB bersama-sama dengan storan bersaiz 64GB yang boleh ditambah sehingga 512GB menggunakan kad microSD.

Samsung Galaxy A30 pula dilengkapi dengan paparan Super AMOLED yang sama, tetapi hadir dengan CPU Samsung Exynos 7904 1.8GHz, memori sebanyak 4GB dengan pilihan storan 64GB yang juga boleh ditambah sehingga 512GB dengan kad microSD.

Dari segi kamera, Samsung Galaxy A50 dilengkapi dengan sebuah kamera pandang hadapan 25MP, dan sebuah sistem tri-kamera di belakang. Kamera-kamera tersebut termasuklah lensa cahaya rendah 25MP, lensa ultrawide 8MP dan lensa Live Focus 5MP.

Samsung Galaxy A30 pula hadir dengan kamera pandang hadapan 16MP dan sistem dwi-kamera 16MP dan 5MP.

Kedua-dua peranti ini juga hadir dengan sistem operasi Android 9.0 Pie yang turut menggunakan antaramuka OneUI. Ini adalah sesuatu yang baru kerana antaramuka ini biasanya digunakan oleh peranti-peranti mercu Samsung sebelum ini seperti siri Samsung Galaxy S 9 dan juga Galaxy Note 9.

Dalam pada itu, kedua-dua peranti ini juga turut hadir dengan saiz bateri yang cukup besar pada 4000mAh yang pastinya akan memberi pengguna satu jangka hayat peranti yang cukup lama dengan satu pengecasan.

Peranti Galaxy A50 turut hadir dengan sistem pengimbas cap jari yang terbina di dalam paparan, akan tetapi, ciri ini dipadamkan, kerana penjaga di reruai Samsung risau bahawa mereka yang memasang sistem keselamatan cap jari akan terlupa untuk menyahaktifkannya.

Samsung Galaxy A30 pula dilengkapi dengan pengimbas cap jari di bawah kamera pandang belakang, kemungkinan untuk mengurangkan kos pembinaan peranti ini.

Rekaan

Peranti-peranti Samsung Galaxy A50 dan Galaxy A30 juga boleh dikatakan di antara peranti-peranti Samsung pertama yang mempunyai takuk di bahagian paparan. Takuk tersebut hanyalah sebesar saiz kamera pandang hadapan kedua-dua peranti, dan bukanlah suatu gangguan apabila saya menggunakan peranti ini.

Dari segi kualiti binaan pula, rangka peranti ini dibuat dengan gabungan aluminium dan polikarbonat. Ini bukanlah bermakna bahawa peranti-peranti ini berkualiti rendah, tetapi dapat dirasakan perbezaannya berbanding dengan peranti siri Galaxy S dan Galaxy Note yang menggunakan rangka gabungan kaca dan logam.

Pada pendapat saya juga, rekaan peranti Galaxy A50 dan Galaxy A30 ini turut mengingatkan saya akan peranti-peranti kelas pertengahan lain dari jenama-jenama seperti Vivo dan juga Honor. Jika logo Samsung tidak tertera di belakang peranti-peranti ini, saya tidak akan dapat mengagak bahawa ini adalah peranti daripada syarikat teknologi Korea tersebut.

Ciri-Ciri

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Samsung Galaxy A50 dilengkapi dengan sistem tri-kamera yang hadir dengan tiga jenis kamera yang boleh digunakan didalam situasi yang berbeza.

Lensa ultrawide Galaxy A50 misalnya boleh mengambil gambar pada sudut 123 darjah, manakala kamera 25MP mampu merakam video gerak perlahan.

Samsung Galaxy A30 malangnya tidak mempunyai ciri-ciri ini kerana sistem dwi-kameranya yang serba kekurangan dari aspek tersebut.

Walaupun begitu, kedua-dua peranti ini hadir dengan sistem pengecasan pantas 15W yang membolehkan peranti ini dicas dalam masa yang singkat, dan juga ciri-ciri seperti Lift to Wake, Double Tap To Wake dan juga Smart Stay.

Penutup

Secara jujurnya kedua-dua peranti ini tiada apa pun keistimewaan khusus baginya, kecuali mungkin sistem pengimbas cap jari di dalam paparan buat Galaxy A50, dan juga tanda harga yang murah buat Galaxy A30.

Akan tetapi, pada waktu singkat saya bermain dengan kedua-dua peranti pintar ini, mereka tidak menunjukkan sebarang isu, malah menelaah pelbagai menu dan juga aplikasi pada peranti-peranti ini sangat lancar sekali.

Peranti-peranti Samsung Galaxy A50 dan Galaxy A30 ini sudahpun tertiris tanda harganya. Ia dilaporkan bahawa Samsung Galaxy A50 akan dijual pada harga RM1199, manakala Samsung Galaxy A30 pula akan dijual pada harga RM799.

Walaupun begitu, tarikh pelancaran peranti-peranti ini masih belum diumumkan, dan ini mungkin adalah kerana pihak Samsung Malaysia tidak ingin mengacau jualan peranti-peranti mercu terbaru mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd