Sejak Space Shuttle di purnakarya oleh NASA pada tahun 2011, mereka terpaksa bergantung kepada Rusia untuk menerbangkan angkasawan mereka ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Hubungan di antara dua negara ini semakin tegang kerana perbezaan politik. Oleh itu sistem sendiri telah dibangunkan supaya mereka tidak lagi perlu bergantung kepada Rusia.
Crew Dragon (juga dikenali sebagai Dragon 2) ialah salah satu dari sistem yang dibangunkan. Ia direka oleh SpaceX dan mampu membawa 7 anak kapal serentak. Semalam ia berjaya diterbangkan ke ISS dengan membawa patung ujian Anthropomorphic Test Device (ATD) yang diberi nama Ripley dan kargo seberat 181 kg. Dengan kejayaan ujian di bawah misi Crew Demo-1 ini, Amerika Syarikat maju selangkah lagi untuk kembali menghantar angkasawan tanpa bantuan negara lain.
Sebelum ini kapsul Dragon telah terbang 16 kali ke ISS tetapi hanya membawa kargo. Antara kargo yang pernah dibawanya ialah satelit mikro UiTMSAT-1 CUBESAT yang dipasang oleh UiTM pada Jun tahun lalu.