Kereta Terbang Pertama Malaysia Menyasarkan Penggunaan Di Sektor Pengangkutan Dan Pertanian

Kereta Terbang Pertama Malaysia Menyasarkan Penggunaan Di Sektor Pengangkutan Dan Pertanian

Diterbitkan pada Mac 4, 2019 oleh .

Pada 26 Februari yang lalu, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Md Yusof  mengatakan kereta terbang pertama buatan Malaysia akan dilancarkan tahun ini. Reaksi dari pembaca nampaknya agak negatif kerana ramai merasakan tiada keperluan untuknya di Malaysia pada waktu ini. Ketika di acara Karnival Usahawan Muda Selangor  hujung minggu lalu beliau menerangkan mengenai kegunaannya di Malaysia.

Beliau dipetik berkata buat masa ini kereta terbang yang dibangunkan adalah untuk kegunaan sektor pengangkutan dan juga pertanian. Di dalam laporan Malaysiakini, antara syarikat yang menunjukkan minat pada kereta terbang ini ialah Grab yang ingin menggunakannya sebagai teksi terbang.

Sementara itu di dalam laporan Berita Harian pula, penggunanya di sektor pertanian ialah untuk memantau ladang serta pihak keselamatan boleh menjaga sempadan negara. Ini adalah sedikit aneh memandangkan dron pemantauan ladang telahpun diuji oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2017. Penggunaan dron lebih sesuai jika dibandingkan dengan sebuah kereta terbang di dalam situasi ini.

Kereta terbang ini dijangka melakukan penerbangan pertama seawal Jun 2019. Masih tiada maklumat syarikat manakah yang bertanggungjawab menghasilkannya. Tetapi sebelum ini pada tahun 2017, CEO Proton mengatakan syarikat beliau berminat membangunkan kereta terbang bersama dengan kereta swapandu dan elektrik.


TIPS & ULASAN