Carian
USB4 Akan Datang Berasaskan Protokol Thunderbolt, Kelajuan Pemindahan Berganda Pantas
March 4, 2019 Aman

Baru sahaja pada minggu lepas kita mendengar mengenai piawaian USB 3.2 yang akan hadir pada sejumlah peranti pada tahun ini. Kini, bergerak kehadapan, badan disebalik piawaian berkenaan telah pun mengumumkan USB4. Spesifikasi penuh untuknya belum lagi ditentukan buat masa ini, dan dijangka hanya akan diterbitkan sekitar pertengahan 2019 ini.

USB4 ini dikatakan berasaskan kepada spesifikasi protokol Thunderbolt yang disumbangkan oleh pihak Intel. Ini sekaligus membolehkan kadar pemindahan data yang ditawarkan USB adalah berkali ganda pantas – sehingga 40Gbps.

USB4 juga akan menyokong piawaian sebelum ini termasuk USB 3.2, USB 2.0 dan juga Thunderbolt 3. Pihak USB memfokuskan kepada penawaran pengalaman pengguna yang mengabungkan pemindahan data, sokongan paparan dan juga pemindahan tenaga melalui sambungan USB4 akan datang ini.

Buat masa ini, spesifikasi dan penawaran penuh USB4 ini masih tidak diketahui lagi. Ia akan dikongsikan pada pertengahan 2019 ini – mungkin selari dengan Computex 2019 kelak. Apa pun, implementasi dan pengenalan sokongan USB4 ini mungkin mengambil sedikit masa, memandangkan para pengeluar baru sahaja mula mengimplementasi sokongan USB 3.2.

Komen