Microsoft sejak dua tahun ke belakangan ini boleh dikatakan agak aktif dalam menyokong pembangunan sumber terbuka. Sebelum ini mereka telah menerbitkan kod sumber File Manager dari Windows 3.0 bagi membolehkan para pembangun menggunakan kod pengurusan fail tersebut. Kini, kod sumber daripada salah satu perisian Windows popular iaitu Calculator telah diterbitkan secara terbuka.
Microsoft telah menerbitkan kod sumber untuk Windows Calculator ini melalui halaman Github di bawah perlesenan MIT. Kod ini telah diterbitkan bagi menggalakkan pembangun menyumbang idea baru dan meningkatkan penglibatan dalam pembangunan Windows Calculator pada akan datang.
Microsoft turut berkongsi mengenai hala tuju untuk Windows Calculator ini termasuk dalam usaha menambahbaik antaramuka Fluent Design pada perisian ini. Mereka juga ingin menawarkan pilihan kustomasi yang lebih menyeluruh pada Calculator bagi membolehkan pengguna menjalankan perkiraan dengan lebih baik.
Bagi anda yang berminat untuk menyumbang idea atau ingin menggunakan kod Calculator ini, anda boleh mendapatkannya melalui halaman GitHub Microsoft bermula hari ini.