Cari @ Amanz

Mengikut angka yang dikongsi oleh Strategy Analytics, Fitbit ialah pengeluar jam tangan pintar dengan pegangan pasaran kedua terbesar sepanjang 2018. Ini dipacu oleh Fitbit Versa yang mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Semalam mereka melancarkan sebuah lagi jam tangan pintar dan tiga penjejak kesihatan.

Fitbit Versa Lite ialah sebuah Versa yang tidak menyokong  storan untuk MP3, kemampuan mengira anak tangga dan menjejak senaman secara automatik. Ia masih lagi mengekalkan pengimbas nadi dan bateri yang mampu bertahan sehingga empat hari dengan sekali caj.

Fitbit Inspire HR dan Inspire pula ialah dua penjejak kesihatan yang sebelum ini hanya ditawarkan kepada pengguna industri. Ia mempunyai kemampuan menjejak aktiviti pengguna, pola tidur, fungsi jam randik dan peringatan untuk bersenam. Perbezaan di antara kedua-dua model ialah Inspire HR adalah satu-satunya yang dilengkapi pengimbas nadi.

Akhir sekali ialah penjejak kesihatan Ace 2 yang direka khusus untuk kanak-kanak berumur enam tahun ke atas. Tubuh Ace 2 diperbuat daripada getah tahan lasak bagi mengelakkan dari mengalami kerosakan ketika dipakai. Ia mempunyai kemampuan untuk memberikan peringatan supaya bersenam.

Kesemua peranti boleh-pakai ini mempunyai kemampuan kalis air. Fitbit Versa Lite dijual pada harga $160 (~RM 654), Inspire HR pada harga $100 (~RM 409) , Inspire pada harga $70 (~RM 286) dan akhir sekali Ace 2 pada harga $70 (~RM 286).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd