Zuckerberg Akan Membina Semula Facebook Sebagai Platform Media Sosial Yang Memfokuskan Privasi

Zuckerberg Akan Membina Semula Facebook Sebagai Platform Media Sosial Yang Memfokuskan Privasi

Diterbitkan pada Mac 7, 2019 oleh .

Ramai kini menyedari perkhidmatan percuma atas talian sebenarnya dibayar dengan perkongsian maklumat oleh pembangun laman dengan pihak ketiga. Akibatnya maklumat peribadi yang sepatutnya sulit telah dijual tanpa disedari kerana pengguna yang tidak membaca terma dan syarat laman secara menyeluruh. Tetapi kini pengguna semakin cakna dan akibatnya ramai mula memadam akaun mereka bagi mengelakkan data peribadi terus digunakan.

Facebook adalah antara laman yang terjejas dengan skandal privasi sejak tahun lalu. Ramai pengguna mula memadam akaun secara pukal. Pagi ini Mark Zuckerberg memuat naik visi beliau untuk masa depan platform media sosial di bawah payung Facebook. Pertama sekali beliau mempunyai perancangan untuk membina semula platform media sosial milik beliau yang memfokuskan kepada privasi pengguna.

Aplikasi-aplikasi pemesejan dan media sosial Facebook akan hadir dengan ciri sistem mesej peribadi, penyulitan dari hujung ke hujung, keselamatan, penyimpanan data yang selamat dan berhubung kait antara sama

Beliau juga mahu mengurangkan tempoh masa data peribadi pengguna platform media sosial yang dikelolakan oleh beliau disimpan. Zuckerberg turut sekali lagi menegaskan sistem pemesejan WhatsApp, Messenger dan Instagram Direct akan bergabung bagi membolehkan penghantaran mesej antara satu sama lain tanpa mengabaikan sistem penyulitan semasa.

Pada waktu yang sama Zuckerberg turut mengatakan pusat data yang digunakan Facebook tidak akan diletakkan di negara yang melanggar hak asasi manusia serta menghalang kebebasan bersuara. Ini adalah bagi memastikan dunia di mana individu bebas bersuara dan hidup tanpa perlu risau maklumat mereka tetiris sehingga membahayakan nyawa.


TIPS & ULASAN