Carian
CEO Blackberry Ragu-Ragu Tentang Masa Depan Peranti Skrin Boleh Dilipat
March 11, 2019 Effi Saharudin

Di MWC yang baru sahaja selesai, kemunculan dua peranti dengan skrin yang boleh dilipat menjadi bahan bualan industri. Huawei Mate X dan Samsung Galaxy Fold kedua-duanya mempunyai rekaan yang berbeza dan kedua-dua pengeluar merasakan rekaan mereka adalah yang terbaik untuk pengguna. CEO Blackberry, John Chen mengatakan beliau ragu-ragu tentang masa depan peranti dengan skrin boleh dilipat ini.

Ini didedahkan oleh beliau menerusi temubual bersama laman Barrons pada Rabu minggu lalu. Menurut beliau majoriti pengguna tidak peduli tentang rekaan sesebuah peranti tetapi sebaliknya lebih mementingkan apa yang boleh dilakukan olehnya. Beliau turut sedang menantikan peranti yang lebih pantas dengan penambahbaikan yang lebih berguna jika dibandingkan dengan peranti skrin boleh dilipat.

Blackberry berhenti menghasilkan peranti mereka sendiri sejak September 2016. Jenama Blackberry kini dilesenkan kepada TCL yang masih menghasilkan peranti dengan papan kekunci fizikal.

Komen