Google hari ini telah pun memperkenalkan beta pertama untuk sistem operasi Android akan datang, iaitu Android Q. Sejumlah ciri-ciri telah pun diumumkan pihak Google secara rasminya, dan tidak ketinggalan juga sejumlah fungsi lain yang masih dirahsiakan oleh pihak Google.
Namun, ia tidak menghentikan sejumlah pembangun bermain dengan versi beta pertama berkenaan, dan menemui beberapa ciri baru. Salah satu ciri baru yang ditemui adalah mod desktop.
Melaluinya, ia membawakan paparan antaramuka sistem operasi Android yang dioptimasikan untuk skrin besar, dan digunakan seumpama pada komputer. Daripada kod awal, ciri ini dilabelkan sebagai “SecondaryDisplayLauncher” – sekaligus memberikan petanda ia akan berfungsi apabila peranti dihubungkan ke paparan kedua seperti monitor.
Untuk makluman, beberapa pengeluar sedia mengintegrasikan ciri lebih kurang sama – termasuk Huawei dan Samsung. Dengan integrasi pihak Google untuk ciri berkenaan terus pada Android, maka kita mungkin melihat lebih ramai pengeluar mengimplementasi ciri berkenaan pada peranti mereka.