Qualcomm Meramalkan Peranti Dengan Kamera 100-Megapixel Akan Muncul Tahun Ini

Qualcomm Meramalkan Peranti Dengan Kamera 100-Megapixel Akan Muncul Tahun Ini

Diterbitkan pada Mac 16, 2019 oleh .

Tahun ini peranti dengan kamera 48-Megapixel akhirnya muncul di pasaran menggunakan sensor yang dikeluarkan oleh Sony dan Samsung. Malahan kamera hadapan sebesar 32-Megapixel juga telah tiba di Malaysia bagi memenuhi keperluan peminat swafoto. Pihak Qualcomm kini meramalkan peranti dengan sensor sebesar 100-Megapixel bakal dilancarkan tahun ini.

Ramalan ini dilakukan oleh Judd Heape yang merupakan pengarah kanan bahagian pengurusan kamera di Qualcomm di dalam temuramah bersama laman MySmartPrice. Menurut mengatakan pengeluar kini berlumba-lumba menghasilkan telefon pintar dengan saiz sensor yang lebih besar berbanding pesaing. Ini bukanlah masa depan teknologi kamera tetapi Qualcomm akur dengan permintaan pelanggan mereka dan membawakan sokongan kamera sehingga 192-Megapixel pada beberapa cip Snapdragon minggu lalu.

Di dalam temuramah yang sama, Qualcomm sedang membangunkan sendiri sistem rakaman video HDR10+ yang bakal digunakan pada cip mereka yang seterusnya (mungkin menggunakan nama Snapdragon 865). Pada waktu ini Samsung Galaxy S10 yang menyokong rakaman video HDR10+ pada peranti dengan cip Snapdragon 855 menggunakan sistem rakaman video yang dibangunkan oleh mereka sendiri.

Saiz sensor kamera semakin besar dan kemampuan fotografi mudah alih akan semakin berkembang. Samsung SCH-V200 ialah telefon selular pertama dilengkapi kamera sebesar 0.35-Megapixel. Siapa dapat menyangka dalam masa 19 tahun selepas SCH-V200 dilancarkan, kemampuan kamera telefon pintar bakal meningkat 285 kali ganda jika ramalan Qualcomm ini menjadi kenyataan.


TIPS & ULASAN