Bulan Januari lepas, Redmi telah memperlihatkan peranti kelas permulaan baru Redmi mereka – Redmi 7. Kemudian beberapa hari lepas, peranti ini disahkan akan hadir dengan skrin bertakuk kecil dan juga mempunyai bingkai tebal. Hari ini, akhirnya peranti ini dilancarkan secara rasmi.
Redmi 7 dijana Snapdragon 632 dengan pilihan memori 2/3/4 GB dan storan dalaman 16/32/64 GB. Untuk skrin, Redmi menggunakan panel bersaiz 6.3-inci LCD dari TUV Rheinland bernisbah 19:9 dan beresolusi HD+. Bateri pula adalah 4000mAh dengan port pengecasan mikroUSB 2.0. Turut dikekalkan adalah port bicu audio 3.5mm.
Untuk sistem kamera, terdapat dua kamera pada bahagian belakang – 12 Megpixel sensor utama f/1.29 + 2 Megapixel sensor kedalaman untuk bokeh. Untuk kamera swafoto pula, Redmi menggunakan sensor 8 Megapixel dengan sistem kecerdasan buatan terbina. Untuk pembesar suara, Redmi menyertakan driver voltan-tinggi PA dengan kekuatan suara 40% lebih kuat dari peranti Redmi yang lain.
Menarik sekali, peranti kelas permulaan ini menjalankan MIUI 10 yang berasaskan Android Pie dengan sistem kecerdasan buatan penjimatan bateri tersendiri terbina. Untuk harga, Redmi 7 dijual pada harga 2/16 GB RMB699 (~RM424), 3/32 GB RMB799 (~RM485) dan 4/64 GB RMB899 (~RM546)