Huawei hari ini telah melancarkan dua telefon pintar baru dibawah siri Huawei P, iaitu Huawei P30 dan juga Huawei P30 Pro. Meneruskan fokus keluarga P terhadap fotografi, Huawei P30 dan Huawei P30 Pro menawarkan sokongan rakaman gambar yang sangat baik melaluinya, selain turut menyertakan sokongan zoom sehingga 10x yang tidak terdapat pada sebarang telefon pintar secara komersil pada hari ini.
Melalui Huawei P30 Pro, ia menyertakan sokongan lensa untuk rakaman zoom nirhilang sehingga 10x, selain kebolehan rakaman zoom hibrid sehingga 50x. Ini sekaligus membolehkan anda merakamkan gambar jarak jauh pada kualiti baik melalui telefon pintar – suatu perkara yang tidak terdapat pada sebarang telefon pintar sehingga ke hari ini.
Untuk Huawei P30 pula, ia menawarkan sokongan zoom nirhilang sehingga 5x, tetapi menariknya kali ini peranti ini turut mengekalkan sokongan bicu audio 3.5mm dibahagian bawah peranti.
Dengan fokus terhadap kamera, ia juga turut menyertakan sejumlah ciri-ciri baru seperti kebolehan rakaman video menggunakan dwi-lensa belakang pada masa yang sama, sokongan rakaman gambar dengan cantik dibawah keadaan cahaya gelap, dan mod-mod baru yang lain.
Dari segi spesifikasi, Huawei P30 hadir dengan skrin 6.1-inci OLED, cip Kirin 980 2.6Ghz, memori 8GB RAM, dan storan 128GB. Ia hadir dengan tri-kamera gabungan 40MP + 16MP + 8MP, selain kamera swafoto 32-megapixel. Menjananya pula adalah bateri berkapasiti 3650mAh. Huawei P30 menyertakan sokongan kalis air IP53, membolehkan ia menyertakan sokongan bicu-audio 3.5mm.
Untuk Huawei P30 Pro pula, ia hadir dengan skrin 6.47-inci OLED, dijana cip Kirin 980, memori 8GB RAM, dan storan sehingga 512GB. Ia menggunakan tri-kamera belakang 40MP + 20MP + 8MP serta menyertakan lensa TOF, selain kamera swafoto 32-megapixel. Melengkapkannya juga adalah bateri berkapasiti 4200mAh. Huawei P30 Pro hadir dengan sokongan kalis air IP68.
Kedua-dua telefon pintar ini turut hadir dengan sistem operasi Android 9.0 menggunakan antaramuka EMUI 9.0. Kedua-duanya juga turut membolehkan anda menambah saiz storan peranti melalui penggunaan kad NM. Huawei P30 Pro turut menyertakan sokongan pengecasan nirwayar – termasuk pengecasan berbalik, sementara untuk Huawei P30, ia boleh menikmati sokongan pengecasan nirwayar melalui penggunaan sebuah kerangka khusus.
Harga jualan tempatan masih belum diketahui lagi. Mengikut beberapa laporan awal, Huawei dijangka memasarkannya di Malaysia pada 6 April 2019 kelak.