Cari @ Amanz

Minggu lepas, Huawei telah mengacah yang mereka akan melancarkan dua telefon pintar siri Enjoy baru dan tablet MediaPad M5 Lite. Hari ini, dua peranti siri Enjoy ini telah dilancarkan – Enjoy 9s dan Enjoy 9E.

Kedua-dua peranti ini adalah dalam kategori kelas permulaan dan juga kelas pertengahan. Siri Enjoy ini dilihat memfokuskan kepada gaya hidup dan juga harga yang sangat mampu milik.


Huawei Enjoy 9S

Peranti ini menggunakan skrin bertakuk kecil 6.21-inci LCD FHD+, dijana Kirin 710 dan dipadankan dengan memori 4GB RAM dan storan 64GB. Terdapat tiga kamera di belakang daripada sensor 24MP + 16MP sudut lebar + 2MP sensor bokeh, kamera swafoto 8MP dan sistem kecerdasan buatan terbina.

Kapasiti bateri adalah 3400 mAh dengan sokongan pengecasan mikroUSB (tidak pantas), bicu audio dikekalkan, pengimbas cap jari klasik di belakang dan menjalankan EMUI 9.0.1 berasaskan Android 9.0 Pie. Peranti ini dijual pada harga RMB1499, iaitu sekitar RM908 dengan pilihan warna Midnight Black, Coral Red dan Aurora Blue.

Huawei Enjoy 9e

Peranti ini menggunakan skrin bertakuk kecil 6.0-inci LCD HD+, dijana Helio P35 dan dipadankan dengan memori 3GB RAM dan storan 64GB. Terdapat satu kamera di belakang dengan sensor 13MP, kamera swafoto 8MP dan sistem nyahkunci berasaskan wajah terbina.

Kapasiti bateri adalah 3020mAh dengan sokongan pengecasan mikroUSB (tidak pantas), bicu audio dikekalkan, tiada pengimbas cap jari dan menjalankan EMUI 9.0.1 berasaskan Android 9.0 Pie. Peranti ini dijual pada harga RMB999, iaitu sekitar RM605 dengan pilihan warna Midnight Black, Sapphire Blue dan Amber Brown dengan kemasan seakan kulit.


Kedua-dua peranti ini turut menyokong tambahan storan melalui kad mikroSD sehingga 512GB, radio FM dan dijual pada harga mampu milik. Tetapi, jelas di sini Enjoy 9S adalah lebih berkuasa dengan sokongan GPU Turbo 2.0 dan skrin lebih cantik. Enjoy 9e pula adalah dalam kelas permulaan untuk kegunaan biasa sahaja.

Siri Huawei Enjoy tidak pernah masuk ke Malaysia lagi setakat ini, jadi tidak hairan jika dua peranti ini terhad di China sahaja. Di Malaysia hari ini ‘adik’ Huawei, Honor – telah melancarkan Honor 8C. Ia adalah peranti kelas permulaan yang dijual pada harga RM599.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd