Cari @ Amanz

Pepatah Inggeris ada mengatakan “jika anda tidak dapat mengalahkan mereka, maka sertailah mereka”. Big Blue Taxi, syarikat pengendali perkhidmatan teksi yang sebelum ini kerap membantah perkhidmatan seru-pandu di Malaysia akan melancarkan perkhidmatan mereka sendiri pada Mei hadapan menurut laporan Astro Awani. Berbeza dengan perkhidmatan seperti Grab, perkhidmatan mereka akan menggunakan kenderaan elektrik.

ZeptoBlueEmpat jenis kenderaan elektrik bersaiz kompak, sedan, SUV dan MPV akan digunakan. Kesemua kenderaan elektrik yang digunakan adalah diimport dari China menurut pengarah Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubaharin Ismail. Setiap kenderaan akan dilengkapi sistem keselamatan seperti butang kecemasan terbina, kamera CCTV dan kamera papan pemuka (dash cam) yang merakam setiap perjalanan.

Pihak Big Blue Taxi menyasarkan penggunaan di antara 1000-5000 kenderaan seru-pandu elektrik ini menjelang Julai 2019. Ini bukanlah percubaan pertama Big Blue dalam arena perkhidmatan seru-pandu. Pada tahun 2016 mereka bekerjasama dengan Zepto Express untuk melancarkan perkhidmatan ZeptoBlue. Tetapi perkhidmatan menyeru teksi ini tidak lagi disokong di dalam aplikasi Zepto Express dan mereka melancarkan aplikasi sendiri pada awal bulan ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd