Cari @ Amanz

Black Shark adalah peranti yang memfokuskan permua. Ia adalah satu jenama baru yang bekerjasama dengan Xiaomi. Selepas Black Shark dan Black Shark Helo, mereka telah melancarkan Black Shark 2. Ia dilancarkan di China pada 18 Mac lalu. Mengejutkan, peranti ini hari ini telah dilancarkan di Malaysia secara rasmi. Ia agak pantas jika dibandingkan dengan model terdahulu. Black Shark 2 juga merupakan peranti Snapdragon 855 pertama di Malaysia.

Terdapat dua variasi Black Shark 2 dilancarkan, iaitu 8/128 GB pada harga RM2499 (Shadow Black) dan 12/256 GB pada harga RM2999 (Shadow Black & Frozen Silver). Harga yang ditawarkan adalah amat mampu milik jika dibandingkan dengan peranti mercu pesaing di pasaran. Ia dijana dengan cip pemproses peranti mercu terkini, Snapdragon 855, hadir dengan dua sistem penyejukan untuk mengurangkan haba peranti ketika bermain permua. Skrin adalah TrueView sebesar 6.39-inci panel AMOLED dengan teknologi HDR, TrueClarity, Master Touch dan Black Shark mengatakan peranti ini adalah peranti pertama dunia dengan kawalan sentuhan masa pendam yang rendah.

Untuk bateri ia mempunyai kapasiti 4000mAh dengan sokongan sistem pengecasan pantas 27W yang mengecas ke tahap  60% dalam masa 30 minit. Kamera pula, ia hadir dengan sensor 48+12 Megapixel di belakang dan 20 Megapixel untuk kamera swafoto. Seperti peranti gaming lain, peranti ini turut mempunyai lampu RGB terbina dan untuk pembesar suara ia menggunakan pembesar suara stereo – Dyanamic Audio.

Sistem operasi pula adalah Joy UI yang terbaru. Ia berasaskan Android asli. Sebelum ini, ia adalah MIUI yang diubah penuh untuk memfokuskan permua. Joy UI terkini adalah berdasarkan Android 9.0 Pie. Untuk mod gaming yang terbina dalam Joy UI terkini, ia hadir dengan Shark Space yang mempunyai lebih banyak ciri dan fungsi untuk pengalaman bermain permua yang mengasyikkan. Antaranya adalah; Ludricous Mode, Game Dock dan Game Studio. Ia turut mempunyai motor getaran baru yang memberikan pengalaman bermain permua dalam 4D.

Black Shark 2 bekerjasama dengan Shopee dan Lazada untuk penjualan rasmi. Di Shopee anda boleh dapatkan diskaun RM100 dan percuma set fon kepala Fujitsu E210BT (berharga RM399). Namun ia terhad kepada 200 pembeli terawal sahaja. Black Shark 2 hadir dengan pilihan warna Shadow Black, Frozen Silver dan Glory Blue. Tetapi, di Malaysia hanya warna Shadow Black dan Frozen Silver sahaja.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd