Carian
Rekaan Peranti Realiti Maya Valve Index Tertiris Menerusi Steam
April 2, 2019 Effi Saharudin

Peranti realiti maya Valve Index akan dilancarkan pada bulan Mei hadapan dengan imej acah telah dikongsi secara rasmi beberapa hari yang lalu. Tidak banyak maklumat dikongsi oleh Valve mengenai peranti realiti maya pertama keluaran mereka. Namun begitu rekaan penuh dan sebahagian spesifikasi Index telah tertiris awal menerusi laman Steam semalam dan ditemui oleh pengguna Twitter Wario64.

Index ialah sebuah peranti realiti maya dengan fon kepala terbina. Ia mempunyai dua kamera pada bahagian hadapan seperti yang turut boleh dilihat pada Oculus Rift S. Ini pastinya digunakan untuk membolehkan pergerakan bebas enam darjah kepada pengguna di dalam dunia maya. Terdapat sokongan untuk alat kawalan Valve Index Controllers yang disertakan sekali dengan setiap pembelian.

Bercakap tentang pembelian, ia nampaknya akan mula dijual bermula 15 Jun 2019. Maklumat lain yang diketahui ialah untuk menikmati Index, pengguna disarankan menggunakan PC dengan kad grafik NVIDIA GeForce 1070, mempunyai port DP 1.4 dan juga USB 3.0.

Komen