Cari @ Amanz

Celcom Dan Digi Telah Memulakan Ujian Rangkaian 5G Sejak 1 April Untuk Pameran 5G SKMM

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sewaktu acara sidang media oleh Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia untuk memperkenalkan acara pameran 5G yang bakal berlangsung pada 18-21 April 2019, mereka juga telah mengatakan bahawa akan ada lima syarikat telekomunikasi tempatan yang akan membekalkan rangkaian 5G untuk pameran-pameran tersebut.

Lima daripada syarikat-syarikat telekomunikasi ini termasuklah Celcom, Digi, Maxis, TM dan juga U Mobile. Menurut Gerard Lim, Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Dan Pengkomersialan Industri Digital SKMM, dua daripada syarikat-syarikat telekomunikasi ini, iaitu Digi dan Celcom sudahpun memulakan ujian rangkaian 5G mereka di Kompleks Perbadanan Putrajaya, dimana pameran tersebut akan diadakan.

Beliau turut berkata bahawa syarikat-syarikat lain, seperti Maxis, TM dan UMobile turut akan hadir dengan rangkaian ujian 5G mereka menjelang 18 April kelak untuk pameran tersebut.

Walaupun begitu, kelajuan rangkaian-rangkaian ini hanya akan diketahui sewaktu acara pameran tersebut tidak lama lagi, kerana mereka masih membuat beberapa pengubahsuaian kepada rangkaian-rangkaian buat masa ini.

Setiap satu syarikat telekomunikasi ini bukan sahaja akan hadir dengan rangkaian mereka sendiri, tetapi juga akan menunjukkan kebolehan rangkaian tersebut melalui beberapa contoh penggunaan yang menarik, seperti kereta swapandu, penggunaan dron dalam beberapa senario berbahaya, penjagaan kesihatan jarak jauh dan sebagainya.

Pameran 5G tersebut, seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, akan berlangsung bermula 18 April hingga 21 April 2019. Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan disertai oleh lebih 10 syarikat telekomunikasi dan teknologi Malaysia dan antarabangsa.


Komen ()